Saturday, 19 January 2008

Muharram, kecemerlangan diri dan nasib ummah


Selamat datang 1429 Hijriyyah!. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 1428H kepada semua memandangkan kita masih berada dalam bulan Muharram, bulan yang mana telah menyaksikan pelbagai peristiwa sepanjang sejarah kehidupan manusia.


Mengungkap kembali sejenak sejarah penyusunan kalender Hijri hasil inisiatif Amirul Mu’minin Saidina Umar bin Al-Khattab r.a, khalifah Islam kedua. Jika kita perhatikan keadaan umat Islam ketika sedang memegang tampuk kekuasaan dunia, sehingga dikatakan meliputi 1/3 dunia. Inisiatif Khalifah Umar itu telah meletakkan tarikh peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w sebagai batu tanda kehadiran sebuah tamadun yang ketika itu bakal menguasai dunia dan telahpun menguasai hamper keseluruhan dunia ini.


Hakikat


Peristiwa hijrah Nabi bukanlah suatu tindakan yang bersifat okasional hasil oppresi kaum kafir Quraisy, malahan sebenarnya telah meletakkan satu tanda aras tahap pemikiran yang melampaui batas akal manusiawi, dan merupakan suatu tatacara perancangan agenda yang cukup tersusun, gemilang, dan terkehadapan. Ini secara jelas menggambarkan bahawa di sebalik semua itu adanya kuasa ketuhanan, pimpinan rabbaniyyah yang menunjuk jalan dan membawa kemenangan. Benarlah firman Allah s.w.t yang telah dirakamkan oleh al-Quran:


“ Demi bintang ketika terbenam. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak (pula) keliru. Dan tidaklah yang diucapkan itu (Al-Quran) menurut keinginannya. Tidak lain (Al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Q An-Najm (53):1-4


Mengambil semangat dan kebijaksaan (hikmah) dari peristiwa besar itu, refleksi yang sangat membekas dan memberi kesan kepada kita sebagai umat Islam dan kehidupan kita di masa ini. Seperti yang dijelaskan sebelum ini bahawa Hijrah bukanlah tindakan okasional hasil opresi Musyrikin Makkah, maka dengan jelas ia dapat menerangkan perancangan dan tindakan Nabi Muhammad selam 13 tahun da’wahnya di Makkah. Diriwayatkan dalam sejarah bahawa sebelum Hijrah ke Madinah (Yathrib), Nabi pernah meninjau beberapa lokasi untuk dijadikan tapak pengembangan dan pembangunan Islam iaitu di Taif dan kemudian di Habsyah, namun ternyata kedua-dua lokasi itu tidak dapat memenuhi cirri-ciri yang diperlukan sebagai tapak kukuh pembinaan Islam.


13 tahun yang begitu bermakna dalam sejarah pengembangan dan penyebaran Islam, di mana dalam tempoh inilah Nabi Muhammad mencetak, membina, dan menghasilkan para pendokong da’wahnhya yang kita dapati setia di belakangnya, yang jelas dan yakin dengan kejayaan yang bakal dikecapi, yang menjadi tonggak kepada kejayaan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad, dan yang syahid di luar dari tanah air mereka sendiri. 13 tahun yang mana dikenali sebagai proses penghasilan modal insan, dan dengan pimpinan Rabbani, terbukti telah memastikan Islam telah sampai kepada kita hari ini…setelah lebih 1418 tahun Nabi tiada.


Refleksi


Sebagai refleksi diri, kejayaan umat Islam dahulu adalah hasil daripada tasawwur (sudut pandang) yang sangat jelas dan kukuh bahawa hanya dengan Islam sesuatu umat itu dimuliakan dan sebaliknya sesuatu umat itu dihinakan dengan sebab meninggalkan Islam. Umar Al-Khattab, ketika menjelaskan keadaan umat Arab dengan jelas menyatakan bahawa ‘ sebelum kedatangan Islam, kami adalah suatu bangsa yang sangat hina, tetapi telah dimuliakan dengan Islam. Barangsiapa yang meninggalkan Islam dia akan dihinakan’. Ustaz Hassan Al-Hudhaibi pernah menyatakan sebagai komentar kepada kepentingan pembinaan diri dan modal insan bahawa: ‘Tegakkanlah Daulah dalam diri kamu, maka nescaya akan tertegaklah Daulah di bumi kamu’.


Semua ini membawa kita untuk merenung nasib dan realiti umat Islam di seluruh dunia, sejak sekian lama, khususnya semenjak kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Lihat sahaja sahabat kita Palestin yang masih berjuang untuk membebaskan negeri sendiri dan telah terjajah semenjak sekian lama, tanpa bantuan kukuh daripada Umat Islam yang kekayaan sumber bumi dan populasinya tidak dapat ditandingi oleh Negara-negara Kesatuan Erodpah (EU). Begitu juga pengalaman umat Islam di Bosnia, Iraq, Afghanistan, Kosovo, Sudan, Lebanon, dan juga di Negara-negara minoriti umat islam-Filipina, Sepanyol dan Thailand. Ini termasuklah isu kemajuan dan pembangunan, kestabilan politik, pembangunan ekonomi, keselamatan social dan sebagainya yang ternyata sangat mengecewakan.


Semenjak sekian lama juga kita telah menghadiri pelbagai konvensyen , seminar, bengkel kerja, perbincangan dan cadangan yang berjela-jela dalam usaha mengembalikan maruah umat dan kegemilangan lampau. Semuanya cuba menjadikan zaman kegemilangan Islam Abbasiyyah sebagai tanda aras (benchmark) kepada erti dan makna ketamadunan. Namun mengambil sirah rasulullah sebagai panduan, ternyata yang paling utama sekarang ialah kembali kepada pembinaan individu yang mana merupakan modal paling berharga kepada kebangkitan umat Islam di seluruh dunia.


Pembangunan semula ketamadunan Islam tidak akan terlaksana sekiranya umatnya masih mundur, tidak beretika, tiada budaya integriti, tidak berilmu pengetahuan, korup, dan jahil. Yang pasti, di mana kedudukan kita, sebagai mahasiswa dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam zaman lampau sekiranya masih dibelenggu masalah coupling, budaya tidak sihat, hedonisme, budaya permainan computer games, dan banyak lagi yang bukan merupakan budaya inletek. Tingkatkan kecemerlangan diri, penuhilah impian dan harapan keluarga, agama, dan masyarakat.

No comments: