Monday, 29 September 2008

Macam-macam hal tentang Ramadhan


Macam-macam hal tentang ramadhan

1. Ada orang sibuk menegakkan dalil solat tarawih Nabi 8 rakaat. Mungkin banyak benarnya. Tapi di negeri yang salafinya begitu tegar, solat tarawih 20 rakaat berjamaah itu biasa sekali. Contoh; masjidil haram.

2. Di negeri yang mazhab aqidah khalaf begitu dominan, contohnya Mesir, solat tarawih 8 rakaat itu biasa, walaupun khalafi berhujjah dengan perbuatan Umar r.a, solat 20 rakaat.

3. Solat 32 rakaat di zaman Khalifah Umar ibn Aziz, pula 32. Sebab katanya, di zaman Rasulullah 8 secara berjamaah itu sudah cukup, sebab bacaan surahnya panjang-panjang sekali. Di zaman aku ni pula (Umar Abdul Aziz), bacaannya pendek-pendek. Jadi samalah jika solat 32 rakaat.

4. Di Malaysia pula ada yang buat solat tarawih 8 rakaat, bacaan ayat-ayat lazim, bacanya pula laju-laju. Pukul 9.00 dah habis 8 rakaat.

5. Ada yang sibuk dok kira 8 ke 20 solat tarawih. Yang wajib lebur. Tarawih tu sunat, lebih-lebihkan, Solat fardhu wajib, tah ke mana.

6. Yang lagi best, ada yang tak solat langsung. 8 ke 20 ke, yang penting dia dok kat depan tv.

7. Ada pulak, orang-orang perempuan yang behujah, Nabi suruh wanita solat di rumah. Yang dia ikut hanya arahan Nabi untuk duduk di rumah, solat tarawihnya tak ada. Dok kat depan tv, layan movie.

8. Ada orang dah mewajibkan bacaan selawat sebelum Solat tarawih, sehinggakan kalau tak selawat, tak boleh start solat. Dah tu, kalau semuanya tak reti nak selawat (berlagu), tapi masa berjalan, hah, asal amek bunyi pun jadi lah. Sebutan tak dengar pun, tapi bunyinya tetap sama. Jadi bolehlah solat.

9. Ada masjid, ambil kesempatan, alang-alang ramai jamaah sebelum solat rtarawih, jadi buat bacaan tahlil sebelum solat. Sebab kalau buat lepas solat, orang dah tak ramai. Jadi bila dah ramai-ramai tu, buat tahlil lah dulu.

10. Dari situasi-situasi di atas ada kesimpulan:

a. Orang melayu ni cukup beradat. ‘memajliskan’ dan ;mengupacarakan’ ibadah tu dah memang tradisi. Solat tarawih tak boleh solat terus, kena ada pembukaannya, penutupnya, aturcaranya.

b. Kita kena kaji kemungkinan memperkenalkan fiqh mahalli-fiqh setempat-contohnya Malaysia. Sebab pastinya suasana berbeza dari satu Negara ke satu Negara. Misalnya, kalau dalil untuk wanita bersolat tarawih di rumah, walaupun sangat kuat, tetapi memandangkan memang hamper pasti, kalau orang perempuan ni tak pergi masjid, dan dok kat rumah, alamatnya tak solat tarawihlah jawabnya. Sebab tu, dalam sesetengah keadaan kerangka fiqh menjadi lebih utama daripada kerangka hadith, bergantung kepada penggunaannya.

c. Masalah yang timbul dari mengupacarakan sebahagian ibadah, adalah seolah mengibadahkan sebahagian dari tradisi-tradisi tadi. Tradisi-tradisi itu, bukanlah tidak islami, Cuma setelah sekian lama dibuat, dengan niat baik orang-orang terahulu, dia dah form part and parcel of the said ibadah. Jadi masalahnya bila ia dah masuk ke aqidah lah. Bila dah anggap sesuatu perkara tambahan sebagai rukun penting dalam islam. Sedangkan asalnya baik, tapi tidak diwajibkan. Kalau settle masalah tu, rasanya banyak benda baik yang boleh terus dilakukan.

Read More..

Sunday, 28 September 2008

Ramadhan di sana sini: India

Nukilan: Ummu Thana’,Mangalore,India

Bismillahirrahmanirrahim.

India???..First expression kebanyakan orang mesti miskin,busuk,tak maju,kotor,orang2 tempatan yang selekeh macam dalam filem-filem tamil dan Hindustan yang selalu ditayangkan di televisyen tempatan. Betulkah begitu?..

Alhamdulillah, peluang belajar di India banyak membuka mata. Apa yang dibayangkan kebanyakan manusia seperti diatas semuanya betul. Namun apa specialnya India? India ada destinasi pelancongan yang menarik setanding Europe dan tempat-tempat lain. Kalau rajin jalan la. India kan besar. Jangan kerana sejemput tempat yang kurang menarik, kita menilai India semuanya begitu. India juga menjanjikan destinasi yang pasti dapat mendidik kesabaran, kekuatan dan ketabahan diri. Malah mungkin lebih baik dari tempat-tempat lain barangkali. InsyaAllah siapa-siapa yang balik dari India adalah mereka-mereka yang kental, penyabar, berfikiran terbuka,mampu hidup susah!. Kami juga takkan membelakangkan kerajaan untuk stay dan kerja di India..hehe..sian kerajaan dan penat menaja, konfem balik Malaysia untuk kerja!..

Mangalore..Satu bandaraya kecil yang sedang pesat membangun. Terletak di selatan India, berhampiran pantai disebelah timur India menghala ke Lautan Hindi. Populasi rakyat Malaysia disini melebihi 150 orang yang hampir kesemuanya adalah pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di kolej-kolej terkemuka India. Manakala populasi Melayu pula mencecah 100 orang. Penduduk Muslim di Mangalore adalah signifikan. Melebihi 30 %. Maka, untuk mendapatkan makanan halal di Bandar Mangalore ini adalah mudah. Masjid juga banyak.


Ramadhan 1429H ini adalah ramadhan yang ketiga saya di India. Bermula dengan pengalaman Ramadhan semasa tahun pertama pengajian, kami semua pelajar tahun pertama diwajibkan untuk tinggal diasrama. Hampir sahaja bulan ramadhan, kami sudah mula pening kepala masa itu. Pening memikirkan apa yang boleh dimakan untuk sahur dan berbuka. Tiada bazaar ramadhan, tiada kedai yang menjual makanan Malaysia, tiada pakej-pakej berbuka puasa di hotel-hotel seperti di Malaysia. Tiada siapa nak sponsor makan hotel macam anak-anak yatim selalu dapat tu. Perasaan menghadapi ramadhan dirasakan sendiri tanpa ada keadaan sekeliling yang membantu menyedarkan kita berada di bulan ramadhan seperti di Malaysia. Kalau nak ikutkan, senang la jugak terlupa yang kita ni berpuasa. Sebab orang sekeliling semua tak puasa. Tiada siapa kisah kita puasa ke tak. Tiada penangkapan akan dibuat sekiranya kita makan kat public masa bulan ramadhan oleh JAIS ke apa2 lah.

Alhamdulillah senior banyak membantu. Kesudahannya kami membuat pesanan(delivery) dari sebuah restoran milik orang Islam untuk menghantar makanan pada waktu sahur dan berbuka sepanjang sebulan ramadhan dengan menu telah ditetapkan in adavance.Menunya sudah pastilah makanan tempatan.Telan jugalah. Dah tak ada pilihan. Kalau pandai masak, sedap juga makanan tempatan ni. Lagi satu, di India ini, satu benda yang menarik adalah khidmat penghantaran makanan. Hampir semua restoren tak kira kecil atau besar menyediakan khidmat penghantaran percuma sehingga kedepan pintu. Menarik bukan?.Memudahkan kami andai ada ketikanya malas memasak dan malas pula untuk keluar rumah, tapi nak makan murah..hehehe.

Pelajar perempuan solat terawih berjemaah di asrama. Satu bilik dikorbankan menjadi surau sementara. Yang menariknya, bukan Melayu je yang join, malahan seorang warga arab yang juga pelajar di kolej sama turut menyertai kami. Masuk penghujung ramadhan, malam raya, selepas isya’ kami mula bertakbir. Bukan setakat bertakbir secara berjemaah, tapi turut menangis secara berjemaah. Syahdu kerana terpaksa beraya di perantauan. Hehehe... Bila fikir balik, kelakar jugak masa tu..

Tahun kedua ramadhan lebih baik dan meriah. Kerana semua pelajar tinggal diluar asrama. Rumah sendiri. Boleh masak. Apa lagi, berpusu-pusu rumah-rumah yang ada nak buat majlis berbuka puasa. Tunjuk skill memasak sambil buat pahala. Alhamdulillah. Al-maklumlah, dengan keadaan yang terhad, dapat pulak masak ikut cara Malaysia, seronok jugalah. Hanya orang yang belajar di luar Negara je tahu kot perasaan dapat memasak masakan Melayu untuk orang lain. Sungguh menggembirakan. Tahun ini pelajar perempuan ada yang solat terawih dimasjid tempatan. Selebihnya solat berjemaah dirumah masing-masing. Di India ini, perempuan tidak digalakkan ke masjid. Hanya ada satu masjid yang menyediakan ruang solat untuk perempuan. Mungkin kerana adat Muslim disini yang sangat memelihara kaum perempuannya. Semua perempuan akan berpakaian hitam, kahwin muda, jadi suri rumah tangga lepas kahwin. Tak kira tinggi mana pun belajar, lepas kahwin kene jadi suri rumah, jaga anak-anak.

Ini adalah tahun ketiga ramadhan saya di India. Keadaannya tidak banyak beza dengan tahun kedua. Cuma mungkin kurang rumah-rumah yang nak offer buka puasa ramai-ramai. Masing-masing sibuk nak exam. Exam final dan exam bulanan. Raya pun ada yang exam..huhu..

Kesimpulannya, walau dimana sahaja Allah mencampakkan kita, amalan wajib tetap perlu dilaksanakan sedaya yang mampu. Walaupun suasananya berbeza dengan apa yang kita sudah terbiasa.

“Wahai orang-orang yang berIman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah dijalanNya, agar kamu beruntung” [Al-Maidah:35]

Wallahulam..

Read More..

Friday, 26 September 2008

Ramadhan di sana sini: sejenak di Irbid

Ramadhan di Irbid terasa kedatangannya dengan berubahnya suasana dan gaya kehidupan masyarakat setempat. Bermula dari malam pertama, kedai-kedai makanan banyak yang menjual air tamar hindi-sejenis minuman asam jawa, dan juga qutoyyif- bahan berasaskan tepung yang digoreng separa dan dimakan bersama qisytoh atau krim cair. Basically, semua kedai menjual produk tersebut, tetapi berbeza standard dari sebuah kedai ke kedai yang lain. Siapa yang sudah lama saja boleh tahu yang mana high quality atau tidak. In fact, kalau yang betul-betul sedap, orang ramai akan beratur panjang menunggu giliran untuk membeli air tamar hindi dan qutoyyif dari selepas waktu asar lagi!

Bagi masyarakat setempat, perubahan dapat dirasakan dengan bertambahnya bilangan mereka yang hadir ke masjid setiap kali waktu solat. Bermula dengan solat subuh, kalau dahulunya 6-7 saf, kini 12 saf ke atas. Boleh dikatakan dua kali ganda pertambahan. Begitu juga dengan solat-solat lain. Apatah lagi solat tarawih, sudah tentu penuh. Satu keunikan masyarakat di sini ialah mereka sangat yakin bahawa malam lLailatul Qadr itu pasti jatuh pada tanggal 27 Ramadhan. Maka pada malam tersebut, masjid akan penuh bagaikan solat jumaat, dan mereka akan mendirikan qiyamullail sepanjang malam. Saya sangat respect pada imam yang memimpin qiyam tersebut. Meskipun sepanjang malam mendirikan qiyam, dengan bacaan yang sangat panjang dan meletihkan, tetapi keesokan paginya beliau boleh hadir ke pejabat pada waktunya, tak lewat sedikit pun dan terus bertenaga sepanjang hari.

Bagi komuniti pelajar Malaysia pula, sahur adalah satu cabaran terutama pada yang lelaki. Rata-rata apabila ditanya tentang sahur, ramai yang menyatakan sekadar bersahur air beberapa teguk dan makan beberapa biji tamar. Maybe sebab mengatuk sangat.Ada sebahagian yang bersahur nasi sebelum tidur, yang ini mungkin sudah confirm tak bangun sahur. Walau apa pun yang menjadi bekal ketika sahur, aktiviti harian berjalan seperti biasa. Cumanya, kelas dan waktu pejabat akan tamat lebih awal dari biasa bagi membolehkan pelajar dan pekerja pulang untuk berbuka. Suatu yang menarik kalau dapat diaplikasikan di Malaysia.

Juadah hidangan berbuka buat pelajar Malaysia tak banyak pilihan kalau tidak memasak di rumah. Yang ada hanya hidangan-hidangan biasa. Tapi yang menarik ialah banyak jemputan untuk iftar, meskipun dari sahabat-sahabat yang tinggal berseorangan. Masyarakat tempatan juga ada menjemput untuk iftar, dan biasanya pelajar Malaysia akan berlumba-lumba untuk turut serta sebab hidangannya daging kambing!

Tarawih di sini ada berbagai pakej, ada yang abu sari’ (pakej solat cepat), dan ada yang bacaannya panjang hingga meletihkan kaki berdiri. Of course lah ada yang 8 rakaat dan ada yang 20. Bagi pelajar Malaysia yang sibuk, mereka akan soolat terawih di masjid abu sari’ ni, meskipun agak jauh sedikit. Tapi bagi mereka yang banyak masa, Masjid Jamiah sudah memadai. 8 rakaat, tapi puas hati sebab bacaan yang sedap dan panjang. Terasa masa kita diisi dengan beribadat kepada Allah.

Usai berterawih, saya sangat gemar untuk membeli sejenis minuman yang jarang dijumpai di bulan-bulan selain Ramadhan. Sahlab sukhun, ataupun sahlab panas. Sejak dari tahun pertama saya di sini, itulah minuman yang saya selalu beli selepas saja selesai berterawih. Agak sukar untuk describe minuman ni, kene dating sini dlu baru boleh rasa. Tapi sebenarnya ramai pelajar Malaysia yang kurang gemar minuman ni, saya pun tak faham kenapa.

Begitulah Ramadhan di Irbid. Sudah 4 kali saya berpuasa Ramadhan di sini, dan suasananya sama sahaja dari tahun ke tahun. Moga masyarakat di sini terus tekun meningkatkan ibadah di bulan Ramabhan.

Abu Thana’,Irbid,Jordan

Read More..

Wednesday, 24 September 2008

Ramadhan di sana sini: pengalaman bumi Kinanah

Catatan oleh Muhammad Irfan


Alhamdulillah,rancangan menyambut ramadhan di Bumi Kinanah terlaksana bairpun terlewat 10 hari. Apa yang menjadi daya penolak hasrat itu adalah kerana ruh ramadhan yang lebih dirasai di Mesir berbanding di Malaysia.Hatta sewaktu tibanya ramadhan,masyarakat menyambutnya seolah ia satu perayaan.Rumah-rumah dihiasi bagi mewujudkan semangat dan suasana Ramadhan itu sendiri dan apabila berjumpa sesama mereka, apa yang diucapkan adalah Ramadah Kareem dan dibalas Allahu Akram


Di Mesir,subuhnya awal dan waktu bermula kerja lewat lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan,jadi ini memberi ruang untuk masyarakat berada di masjid-masjid untuk berzikir,membaca al-Quran dan bersolat sehinggalah terbit matahari.Kerana Nabi pernah bersabda;
"Barang siapa yang bersembahyang subuh di masjid dan selepas itu dia berzikir sehingga terbit matahari, maka baginya pahala mengerjakan haji dan umrah yang sempurna,sempurna,sempurna"


membaca al-Quran di dalam Metro(keretapi)

Di sepanjang harinya,suasana orang membaca al-Quran boleh dilihat di mana-mana,dari masyarakat biasa di dalam keretapi atau bas hingga ke polis ketika berkawal di pos kawalan.Pendek kata di mana-mana pun ada sahaja yang insan yang membaca Quran dan bukan setakat di dalam masjid.
Seorang ulama pernah berkata;
"Ramadhan dan al-Quran adalah dua sahabat baik yang sentiasa berkasih-sayang"


maidatu ar-rahman

Ketika waktu berbuka menghampiri,kita dapat melihat banyaknya Maidatu Rahman yang menyediakan hidangan berbuka bagi mereka yang tidak berkemampuan.Maidatu Rahman ini ditaja oleh mereka-mereka yang kaya di sekitar mesir. Bagi golongan yang sederhana,mereka juga tidak melepaskan peluang mendapat pahala tambahan.Mereka akan tunggu di jalan-jalan utama dan memberikan bungkusan berisi kurma kepada pemandu-pemandu yang melalui jalan tersebut.Nabi pernah mengatakan bahawa mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa walaupun dengan sebiji atau setengah biji tamar maka baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.


tarawikh di Masjid Amru Al-As(masjid pertama dibina di mesir)

Menjelang waktu solat tarawikh,seperti biasa masjid-masjid akan dipenuhi manusia.Apa yang berbeza di mesir ialah umat Islam di sini lebih gemar ke masjid-masjid yang diimami imam yang sedap serta panjang bacaannya.Boleh dikatakan lebih panjang dan sedap bacaan seseorang imam itu , lebih ramailah orang di masjid itu.Mereka menikmati bacaan imam hatta menangis apabila dibacakan ayat mengenai azab.


kehangatan mentari tidak menghalang tanggungjawab harian

Di 10 akhir ramadhan, ramai orang yang beriktikaf di masjid. Lebih kurang jam 11 malam lampu-lampu akan di padamkan, dan menjelang jam 2 pagi lampu dinyalakan dan mereka akan bersolat tahajjud berjemaah.Ketika itulah dapat didengari tangisan keinsafan dan mereka dengan hati yang mengharapkan keampunan dari ilahi.

Apa yang mahu disimpulkan di sini bahawa Ramadha itu satu peluang,maka jangan biarkan ia pergi begitu sahaja tanpa mendapat manfaat darinya
Sabda nabi;
"Rugilah mereka yang didatangi Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya"-wallahu a'lam

layari http://irfansalmi.blogspot.com/

Read More..

Friday, 19 September 2008

Pilihan yangtidak pernah salah

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang mengutamakan akhiratnya, Allah akan memelihara urusannya dan memurahkan hatinya, sehingga dunia dan kemewahannya datang bergolek tanpa dikejar. Dan sesiapa yang mengutamakan dunianya, Allah akan memporak-perandakan urusannya serta ditampakkan kepapaan di hadapan matanya, sedangkan dunia dan kemewahannya tidak akan mendatanginya, melainkan sekadar apa yang ditentukan Tuhan saja" (Riwayat Tarmizi).


Read More..

Wednesday, 17 September 2008

Di kala panas terik menghauskan anda..


Saya belum berkesempatan merai Ramadhan di timur tengah. Tapi ramadhan di Negara sendiri sudah cukup meriah saya kira. Cuma sesekali Nampak air yang sejuk, pasti terliur. Pasti juga setiap kali teringat, kenangan menikmati penghilang dahaga di timur tengah, menerpa ke kotak ingatan.


Kalau secara umum asir, atau jus buah-buahan apa pun ia memang berbaloi untuk menghilangkan dahaga. Tapi sebab ia cukup pekat, dan asli- orang kita tak jadikan ia sebagai minuman. Sebaliknya pencuci mulut saja. Tapi ada benda lain yang orang kita pasti akan terkenang.


I


Tahun lepas di Syria. Kata orang kalau melalu Souq Hamidiye atau sekitar Dimasyq, dan anda melewati penjual air tamr hind rugi kalau tak singgah dan menimati seteguk dua, kalau tak secawan dua. Tambah kalau selepas selesai berjumaatan. Di bawah panas terik, meneguk air tamr hind yang dingin dengan rasa masam, manis, wangi dan harum, dan sejuk yang mendingin di dalam. By the way, tamr hind adalah asam jawa. Di Syam, itu specialty mereka.


II


A friend of friend of mine, once pernah mengungkapkan tatkala di tanya apa kenangan yang paling tak boelh lupa ketika di Mesir, waktu belajar dulu. Jawabnya: Khasb. Air tebu. Saya pernah ke Mesir beberapa tahun dulu. Berziarahan. Tapi ketika itu kecil lagi sehingga tak dapat appreciate nilai estetika pada tebu Mesir tu. Apa beza tebu Mesir dengan kita punya?. Kata orang-orang di sana memang berbeza. Tambah kalau dah berjalan jauh, panas terik, dan jalan yang bising, berhabuk dan sesak dengan 22 juta penduduk di tengah-tengah kota Kaherah, memang nikmat minum tebu. Terus lupa masalah sekejap. Focus terus tertumpu kepada thirst quencher yang satu ni. Terasa masa terhenti seketika. Dan rasanya cukup untuk membuatkan kalau orang bertanya apa kenangan di Mesir-jawapannya tebu.


III


2004, saya di Sana’a. Ibu kota Yemen. Kalau ke kelas bahasa sebelah petang membawa ke malam. Kadang-kadang, kalau terasa tekak ni kering, pasti akan singgah menikmati air limb. Sebetulnya ia adalah air limau, yang dicampur susu. Jadi masam, manis, lemak susu bercampur, menghasilkan kenikmatan yang berbeza sekali. Tentunya lebih nyaman dengan hidangan dingin.



Di setiap tempat ada keistimewaan yang tak dapat disbanding dengan tempat lain. Bulan-bulan puasa ni, Cuma boleh teringat nak minum apa je lah, nak merasa…hmm..lambat lagi lah jawabnya.
Selamat berbuka puasa.

Read More..

Tuesday, 16 September 2008

Hari Malaysia ke-45


Selamat menyambut Hari Malaysia ke-45.

Read More..

Monday, 15 September 2008

Sang Gladiator

I

Ada ‘orang’ akan ke Putrajaya.
Apa pun tarikh keramat yang bakal ditentukan, seperti yang pernah saya telahkan beberapa ketika dulu, bukanlah yang paling utama. 16 September mungkin menjadi tarikhnya, tetapi kalau pun bukan ketika itu, semangat 16 September itu dibawa bersama.

Kesempatan ini bukan untuk membincangkan kemungkinan 16 September sebagai tarikh keramat, yang menurut sesetengah orang, tarikh perubahan arah halatuju masyarakat Malaysia, tetapi keseluruhan aspek ‘perubahan’ ini. Saya sangsikan ia sebagai suatu perubahan total. Tetapi sebagai muqaddimah sebuah perubahan besar ada kemungkinan.

II

Sang Gladiator. Masih ingat cerita Gladiator suatu ketika dulu. Macamana ceritanya?
Cerita tentang kuasa, penguasa, dan kekuasaan. Cerita tentang kejelikkan dan kebobrokan dalam seluruh sistem kepimpinan Rom. Cerita tentang kepercayaan dan submit kepada sebuah sistem yang dikhianati.

Maximus, jeneral perang Rom seorang yang tulus dan gigih. Dia menjadi pilihan Maharaja Rom untuk menggantikannnya, melebihi anaknya sendiri. Kerana dia berani, gagah di medan perang, strategis, pd (percaya diri), dan taat pada Maharaja. Maximus percaya: “politicians come and go, (but) the generals stay”. Dia cuba berada jauh dari ruang politik Rom. Walaubagaimanapun, Maharaja lebih cenderung untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Senat. Tugasan itu menjadi tanggungjawabnya. Tapi katanya: “Ada sesetengah perkara, kita hanya mampu untuk membisikkannya, tetapi kita mampu untuk mengubahnya”.

Anak maharaja, dengan apa yang dikira sebagai sebuah legasi, menginginkan gelar itu. Maharaja Rom. Dengan seluruh konspirasi, dia ‘merampas’ hak yang bukan miliknya, dan menjadikan ia milik peribadi. Dan dengan segala dendam kesumat, dia telah menghambat keluar Maximus, wira yang sepatutnya mengembalikan kegemilangan sistem politik kebanggaan seluruh rakyat Rom itu, demokrasi. Jadilah dia Maharaja Rom.

Lalu jadilah Maximus orang terbuang di bumi asing. Dia dijual. Dan, dengan kekuatan yang dimilikinya, dia memulakan karier, di arena gladiator. Dia memulakan langkah ke Rom, dari bawah. Betul-betul dari angka kosong.

III

Bertahun dia membina nama di arena yang menjadi pujaan setiap rakyat Rom. Dia berjaya menempa namanya dan mengukir ia di hati sesiapa saja, kawan mahupun lawan. Dia disayangi dan digeruni.

Akhirnya dia berjaya melangkah semula ke arena yang dia pernah suatu ketika dulu berada sebaris dengan pimpinan negara yang lainnya. Bezanya kini, dia di gelanggang, tidak di galeri.

Dengan seluruh keazaman, dia mengingingkan hanya suatu perkara. Membersihkan namanya dan menuntut bela di atas kezaliman ke atas dirinya dan keluarga. Dan peluang itu telah berada di depan matanya.

Sang maharaja yang dahulu telah mempunyai peluang untuk mengabadikan nama musuhnya itu di batu nisan, terpaksa menggigit jari. Ya, orang yang dia ingin bunuh itu, telah pun berada di depan matanya. Tetapi membunuhnya bukanlah satu pilihan yang mudah. It’s so close, yet so far. Semuanya terasa seolah terlalu jauh. Dia tiada pilihan, kerana semua gladiator pilihannya, tewas di tangan musuh abadinya ini. Kini dia harus menghapuskannya sendiri. Satu lawan satu. Aku lawan kamu.

Pertarungan sengit, ketika matahari tegak di atas kepala itu, menyaksikan terkabulnya hajat seorang, dan terkuburnya impian yang seorang lagi. Maximus berjaya membersihkan namanya dari seorang pengkhianat negara kepada seorang prwira negara. Dia telah memjatuhkan sebuah legasi jahat. Dia telah meruntuhkan sebuah sistem kuku besi dan mengembalikan sistem politik Rom seperti apa yang diimpikan oleh rakyat Rom. Tapi ada harga yang terpaksa dibayar. Maximus, sang Gladiator, harus ‘pergi’ bersama dengan jatuhnya sebuah kekuasaan zalim. Dan dia memilih yang itu.

IV

Ada suatu persamaan yang menarik antara cereka itu dengan ‘perubahan’ yang dinantikan oleh masyarakat kita.

Sang perwira yang dijulang-julang kini, dahulunya adalah sebahagian dari sistem, yang kini dianggap korup, menurut sesetengah orang. Perwira ini hampir, sangat-sangat hampir untuk memikul amanah kepimpinan negara.

Sang perwira itu, telah dicampak dan dihumban ke bawah. Dia menjadi sehina-hina manusia. Dan dia harus memulakan langkah membersihkan namanya dari ‘bawah’.

Sang perwira menjadi sangat popular. Namanya meniti dari bibir ke bibir. Setiap yang melihat terpegun dan terpesona. Dialah perwira rakyat.

Dia seorang diri, melawan sebuah sistem, yang harus dia perbetulkan dan mengembalikan kuasa kepada yang berhak. Dia terpaksa melawan suatu sistem yang sudah cukup kompleks.

Detik kejayaan yang dirintis, sedikit demi sedikit, sehingga dia akhirnya berjaya berdepan, satu lawan satu dengan sang maharaja. Berada begitu ‘hampir’ dengan ‘singgahsana’ maharaja. Dekatnya dia dengan maharaja, sehingga maharaja tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Walaupun menyentuhnya.

Pilihan terakhir yang terpaksa dipilih oleh maharaja-memperjudikan kerajaannya dalam usaha menghapuskan ‘pemberontak’ dan ‘pengkhianat’ ini. Dan itu yang dipilihnya.

Cuma satu langkah terakhir yang menjadi persoalan. Kerajaan maharaja yang korup tumbang dan peranan demokrasi dikembalikan. Tetapi harganya cukup mahal. Sang perwira harus ‘ tumbang’, ‘rebah’ dan ‘pergi’ bersama. Dia tidak sempat pun melihat hasil usaha gigihnya itu. Tapi namanya dijulang dan diabadikan sebagai sang perwira. Sang Gladiator: Perwira rakyat.

V

Soalnya kini, langkah ‘itu’ makin hampir. Seperti cerita di atas, apakah kesudahan yang sama bakal terjadi kepada sang perwira, yang dijulang-julang rakyat ini? Apakah harga yang sama terpaksa dibayar untuk membawa pulang sebuah kebebasan.

Saya hanya mencoretkan.

Saya hanya memerhatikan dari jauh.

Read More..

Wednesday, 10 September 2008

Celoteh Ramadhan

Setiap kali masuk je bulan puasa ni mesti banyak cerita-cerita lucu yang menggelikan hati. Semua aspek kehidupan seolah berbeza bila masuk je bulan puasa. dan masyarakat dari pelbagai lapisan, khususnya di Malaysia ada cerita untuk dikongsi:-

1. Budak-budak sekolah rendah: Mula buat muka sebab kena bangun sahur awal pagi. Bila balik sekolah, penat, curi-curi makan

2. Suami: stand-by balik awal. Kerja sepanjang bulan puasa slow and steady. By kul 4 dah siap bertolak balik rumah.

3. Anak-anak di perantauan: Ramadhan first dah pasang lagu raya, especially lagu Sudirman. tangkap leleh beb..Dah teringat rumah. Tu baru puasa hari first. HAri tu lah jugak teringat masakan mak. Yang belajar local, hari first memang cari chan (chance) je nak sahur bersama family kat kampung.

4. Family: Masuk je bulan puasa dah plan nak beli baju raya kat mana. Tambahan kalau dah dekat-dekat penghujung, Jalan TAR, dan seluruh KL-sesak beb. Diborongnya segala khazanah. Dengan kedai-kedainya sekali. Baju raya, langsir, kuih raya.

5. Anak-anak yatim: bulan puasa diorang demand skit. Kalau nak ajak jemput buka puasa, nak kena tengok diari dulu, free tak. Sebab kalau clash dengan jemputan berbuka kat hotel 5 star, buka puasa kecik-kecik kat surau ni tak main lah.

6. Imam-imam: budak-budak hafiz, kalau bulan puasa memang ramai yang dipanggil menjadi imam tarawih. Tapi nak jadi imam, kena tengok package nye. Tengok bayaran. Bayar cikai, package tak lengkaplah jawabnya. Kalau bayar sikit, boleh compare dengan bayaran ramadhan tahun lepas plak tu. Katanya, tahun lepas kat kawasan-kawasan dato' tu, diorang bayar 5k, takkan ni bayar skit je?...kalau nak boleh. tapi package tak lengkap. bacaan ringkas je. doa pun pendek je. hehehe...

7. Peniaga pasar Ramadhan: tak menang tangan para peniaga pasar Ramadhan ni. ada aje cara untuk tambah pendapatan. Lokasi pulak yang strategic. Booking tempat, kalau dengan DBKL berbulan-bulan awalnya. Itu pun kena mark up banyak. Tak pa. Ramadhan punya pasal.

8.Budak-budak bujang: Time ni lah tak payah nak susah2 pikir pasal makn. Tinggal buat diari planner je. Hari ni kat mana, esok kat mana. Rezeki bersepah-sepah. dari rumah orang dah kahwin, masjid, syarikat tempat kerja, atau rumah lecturer, rumah boss. Mana-mana pun boleh.

9. Orang-orang yang mengelat: orang yang nak mengelak lah tu. Ingatkan zaman dulu je ada orang-orang yang rumah kata pergi, kubur kata mari lari dari puasa. zaman sekarang pun masih ada lagi. Macam-macam alasan. Gastrik lah. PAstu gi makan sembunyi-sembunyi. Dah kene tangkap dengan JAWI baru nak tau malu. Esok keluar suratkhabar, DAtuk 10 cucu ditangkap tak berpuasa.

10. Shopping mall: first puasa dah buat iklan untuk raya. sebesar-besar alam. berjenis-jenis. Sambutan bulan puasanya tak seberapa, tapi rayanya sakan bagai. Hotel-hotel pulak buat hidangan special sempena ramadhan. ingatkan ramadhan untuk besederhana, tapi kat hotel sumbat makanan dalam perut macam untuk setahun. Ye lah nak bagi berbaloi dengan duit yang dibayar.

Tu lah sebahagian coretan masyarakat kita kat Malaysia ni. Bulan Ramadhan bulan rezeki untuk semua. Saya cuma teringat kisah-kisah lucu tatkala menghampiri bulan mulia ini. Cerita-cerita di atas adalah sekadar celoteh ramadhan. Yang baik jadikan ikutan, buruk jadikan ingatan. Besederhana dalam Ramadhan.

Read More..

Friday, 5 September 2008

Merdeka+Ramadhan

Salam.
Kali ni sambutan merdeka diraikan bersekali dengan sambutan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan untuk Merdeka rasanya dah buat lama. tapi sambutan meraikan kedatang Ramadhan pulak macam mana? Are you ready for the feast?
Feast yang menyajikan pengalaman yang sangat berbeza. Makanan untuk jiwa sebanyak-banyaknya.
Satu je saya teringat, kata seorang teman. Ramadhan ni macam sprint. Tambahan pula kita baru je habis mengikuti Olimpic Games di China baru-baru ni. Tengok sahaja atlet-atlet tu. Persediaan untuk tournament selama dua minggu tu bukan dibuat seminggu sebelum tu, atau masa tu baru nak cari kasut, nak cari tali kasut, tapi dua tahun, maybe 4 tahun sebelum tu. Dengan training, pemakanan, supplements, discipline. Macam-macam lagi lah.
Begitu juga dengan kita. Ramadhan ni kenalah dirai dengan persediaan. TAkkan esok nak puasa, malam tu baru nak prepare segala macam. mestilah dari awal. Sebab, kalau tak pancit awal. 10 malam pertama je tarawih. Lain malam tarak. Tu baru tarawih. Amalam-amalam lain?
Nabi preparation dia bukan dekat-dekat nak Ramadhan. Tapi beberapa bulan sebelum tu lagi. Rajab dan Shaa'ban pun dah start banyak berpuasa. Dah start simpan duit untuk disedekahkan sepanjang Ramadhan, dan lain-lain. Sahabat-sahabat lain pula ^ bulan sebelum tu dah start berdoa dan eager nak berhadapan dengan bulan yang desediakan Bab Ar-Rayyan untuk mereka.
So. macam mana kita nak sambut kali ni. Dengan semanagt merdeka, bawa bersama ke Ramadhan. Bebaskan jiwa, ruhi, dan akal kita dari penjajahan. Merdekakan diri dari cengkaman syaitan dan nafsu. Ramadhan waktu penjajahan untuk iblis. mereka dirantai. So. yang kita plak nak ikatkan diri dengan diorang apa cerita?

Read More..

Thursday, 4 September 2008

Merdekakan Universiti kita!!

1.Baru semalam kerajaan mengumumkan anugerah Universiti Apex kepada Universiti Sains Pulau Pinang. Umunya, ia satu tindakan kehadapan yang bijak, dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan dan isntitusi pengajian tinggi di Negara ini.

2. Namun dalam kegembiraan sesetengah pihak menyambut baik langkah ini, diharap ini bukan satu pengumuman kosmetik sahaj, atau bernuansa populist. JAngan dek kerana nakan nama dan political mileage, kita menamakan pelbagai rancangan yang hebat dan gah atas kertas, tapi hampeh dalam perlaksaan.

3. Saya cuba melihat langkah mulia ini dalam kerangka kemerdekaan yang kita masih merasai kehangatannya (sebab semangat merdeka sedang dibawa menuju ke 16 September, entah kerana nak sambut Hari Malaysia atau hal-hal yang lain). Dengan roh merdeka kita menyetujui rancangan ini kerana institusi pengajian tinggi ini ‘diberikan semula’ haknya yang sepatutnya telah lama diberikan.

4. Bukanya salah pihak-pihak tertentu kerana tidak mengambil dan mengumumkan langkah ini awal-awal dulu, sebaik menerima kemerdekaan Negara ini, tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka kira seharusnya menilai kembali kerosakkan teruk dan serius yang kita, seluruhnya, telah lakukan terhadap pusat peradaban dan budaya ini. Apakah setelah 50 tahun kita jahanamkan ia, dan kemudian satu hari kita catkin ia dengan warna baru, ia akan menjadi sesuatu yang baru, bagus, dan baik?

5. Universiti Apex, sesuai dengan istilahnya akan diberi kebebasan autonomi untuk mentadbir institusinya sendiri, kawalan terhadap pengambilan pelajar, geran penyelidikan yang lebih banyak, kenaikan dan pemilihan pentadbir dan akademik yang lebih telus. Kuasa yang sepatutnya memang dinikmati oleh semua dan setiap institusi bergepar IPT.

6. Isu utama di sini adalah revolusi minda yang harus dilakukan terhadap keseluruhan aspek pengajian tinggi. Saya tak berniat untuk bermain politik. Tapi disebabkan politik, ia telah mengheret sama asset paling bernilai bagi setiap bangsa ini ke dalam kancah kerosakan dan kemunduran pemikiran dan pembangunan. Saya tak bermaksudkan pembangunan dari aspek fizikal.

7. Tentunya kita lebih terkehadapan dan gah dari aspek itu. Tapi justeru harga yang kita terpaksa bayar untuk dapat duduk dalam bangunan yang cantik dan berhawa dingin, ialah mengorbankan kebebasan akademik dan bereksperimen dengan alam. Setelah begitu lama kita ditekan, tentunya saya tak perlu sebuk dengan berbagai undang-undang, peraturan dan by-laws.

8. Perumpamaan saya mudah saja. Kalau masih ingat decree kebebasan jiwa yang diumumkan oleh Presiden Amerika ke-15, Abraham Lincoln, yang membebeaskan semua manusia dari sebarang perhambaan. Sejuru itu, semua hamba kulit hitam pun dibenarkan untuk membina kehidupan baru. Namun ternyata tidak lama. Tanpa ada apa-apa peraturan baru, para hamba ini dengan rela hati kembali kepada tuan asal mereka. 9. Alasannya, kerana mereka tidak dapat hidup tanpa disuruh. Itulah kehidupan sebenar mereka, kata mereka. Nah. Apakah itu tidak akan jadi kepada pengumuman terkini ini. Ok lah. 100 tahun diberi untuk menempatkan dalam 100 universiti terbaik di dunia. Tapi justeru kita memerlukan lebih banyak effort untuk pergi lebih jauh. Kita memerlukan banyak masa ‘to clean up the mess’.

10. Sekarang bukan soal salah siapa. Letak tepi isu iut. Saya tak nak, sebab kita nak ambil jalan mudah, bila ada orang address isu-siu sebegini, dia dianggap anti- establishment, pro-pembangkang. Tidak. Ini soal masa depan bangsa kita. Kita dah muak dengan pengangguran yang melampau-lampau, kebejatan social, dan tenaga kerja yang tidak berkemampuan dan tidak berintegriti. Enough of this.

11. Mari kita mulakan suatu era baru dalam kebebasan sebenar IPT: kebebasan akademik dan kajian, kebebasan mahasiswa untuk bersuara apolitical (tidak berpihak kepada kerajaan atau pembangkang), pembangunan modal insane sebenar, dan kemajuan ilmu dan bahasa ke peringkat global. Kita boleh. Merdekakan universiti kita!!

Read More..

Monday, 1 September 2008

Ramadhan Karim!!!!!


Selamat datang ke madrasah Ramadhan. Nikmati ia, penuhi ia, dan jiwai setiap saat dari kelebihan bulan mulia ini. Amin.

Read More..

Di teduhan sebuah pohon kemerdekaan


Kau membenih dari rahim payah

Betapa kelahiran itu

Sebuah perjuangan yang panjang,

Setiap nafas watan berdesah

Adalah rintis-rintis halus dalam

Kesayuan tembang.

Khabarkan padaku;

Indahnya perjuangan,

Kerana aku adalah pencari hikmah

Dalam keselerakan khazanah.

Akulah pucuk hijau

Pada dahan keutuhanmu

Akulah tunas baru

Dari akar ketuananmu

Akulah waris setia penerus kehidupanmu.

Dan saat guntur sejarah menikam hatiku,

Pedih

Aku menjadi pejuang majazi

Dalam citra yang panjang

Dengan pertarunganku sendiri.

Aku hanyalah daun

Dan kau adalah pohon,

Aku akan gugut

Tapi kau akan terus subur.

Nissa’ Yusof

Ipoh, Perak


dipetik dari Mingguan Malaysia
31 Ogos 2008

Read More..