Monday, 15 September 2008

Sang Gladiator

I

Ada ‘orang’ akan ke Putrajaya.
Apa pun tarikh keramat yang bakal ditentukan, seperti yang pernah saya telahkan beberapa ketika dulu, bukanlah yang paling utama. 16 September mungkin menjadi tarikhnya, tetapi kalau pun bukan ketika itu, semangat 16 September itu dibawa bersama.

Kesempatan ini bukan untuk membincangkan kemungkinan 16 September sebagai tarikh keramat, yang menurut sesetengah orang, tarikh perubahan arah halatuju masyarakat Malaysia, tetapi keseluruhan aspek ‘perubahan’ ini. Saya sangsikan ia sebagai suatu perubahan total. Tetapi sebagai muqaddimah sebuah perubahan besar ada kemungkinan.

II

Sang Gladiator. Masih ingat cerita Gladiator suatu ketika dulu. Macamana ceritanya?
Cerita tentang kuasa, penguasa, dan kekuasaan. Cerita tentang kejelikkan dan kebobrokan dalam seluruh sistem kepimpinan Rom. Cerita tentang kepercayaan dan submit kepada sebuah sistem yang dikhianati.

Maximus, jeneral perang Rom seorang yang tulus dan gigih. Dia menjadi pilihan Maharaja Rom untuk menggantikannnya, melebihi anaknya sendiri. Kerana dia berani, gagah di medan perang, strategis, pd (percaya diri), dan taat pada Maharaja. Maximus percaya: “politicians come and go, (but) the generals stay”. Dia cuba berada jauh dari ruang politik Rom. Walaubagaimanapun, Maharaja lebih cenderung untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Senat. Tugasan itu menjadi tanggungjawabnya. Tapi katanya: “Ada sesetengah perkara, kita hanya mampu untuk membisikkannya, tetapi kita mampu untuk mengubahnya”.

Anak maharaja, dengan apa yang dikira sebagai sebuah legasi, menginginkan gelar itu. Maharaja Rom. Dengan seluruh konspirasi, dia ‘merampas’ hak yang bukan miliknya, dan menjadikan ia milik peribadi. Dan dengan segala dendam kesumat, dia telah menghambat keluar Maximus, wira yang sepatutnya mengembalikan kegemilangan sistem politik kebanggaan seluruh rakyat Rom itu, demokrasi. Jadilah dia Maharaja Rom.

Lalu jadilah Maximus orang terbuang di bumi asing. Dia dijual. Dan, dengan kekuatan yang dimilikinya, dia memulakan karier, di arena gladiator. Dia memulakan langkah ke Rom, dari bawah. Betul-betul dari angka kosong.

III

Bertahun dia membina nama di arena yang menjadi pujaan setiap rakyat Rom. Dia berjaya menempa namanya dan mengukir ia di hati sesiapa saja, kawan mahupun lawan. Dia disayangi dan digeruni.

Akhirnya dia berjaya melangkah semula ke arena yang dia pernah suatu ketika dulu berada sebaris dengan pimpinan negara yang lainnya. Bezanya kini, dia di gelanggang, tidak di galeri.

Dengan seluruh keazaman, dia mengingingkan hanya suatu perkara. Membersihkan namanya dan menuntut bela di atas kezaliman ke atas dirinya dan keluarga. Dan peluang itu telah berada di depan matanya.

Sang maharaja yang dahulu telah mempunyai peluang untuk mengabadikan nama musuhnya itu di batu nisan, terpaksa menggigit jari. Ya, orang yang dia ingin bunuh itu, telah pun berada di depan matanya. Tetapi membunuhnya bukanlah satu pilihan yang mudah. It’s so close, yet so far. Semuanya terasa seolah terlalu jauh. Dia tiada pilihan, kerana semua gladiator pilihannya, tewas di tangan musuh abadinya ini. Kini dia harus menghapuskannya sendiri. Satu lawan satu. Aku lawan kamu.

Pertarungan sengit, ketika matahari tegak di atas kepala itu, menyaksikan terkabulnya hajat seorang, dan terkuburnya impian yang seorang lagi. Maximus berjaya membersihkan namanya dari seorang pengkhianat negara kepada seorang prwira negara. Dia telah memjatuhkan sebuah legasi jahat. Dia telah meruntuhkan sebuah sistem kuku besi dan mengembalikan sistem politik Rom seperti apa yang diimpikan oleh rakyat Rom. Tapi ada harga yang terpaksa dibayar. Maximus, sang Gladiator, harus ‘pergi’ bersama dengan jatuhnya sebuah kekuasaan zalim. Dan dia memilih yang itu.

IV

Ada suatu persamaan yang menarik antara cereka itu dengan ‘perubahan’ yang dinantikan oleh masyarakat kita.

Sang perwira yang dijulang-julang kini, dahulunya adalah sebahagian dari sistem, yang kini dianggap korup, menurut sesetengah orang. Perwira ini hampir, sangat-sangat hampir untuk memikul amanah kepimpinan negara.

Sang perwira itu, telah dicampak dan dihumban ke bawah. Dia menjadi sehina-hina manusia. Dan dia harus memulakan langkah membersihkan namanya dari ‘bawah’.

Sang perwira menjadi sangat popular. Namanya meniti dari bibir ke bibir. Setiap yang melihat terpegun dan terpesona. Dialah perwira rakyat.

Dia seorang diri, melawan sebuah sistem, yang harus dia perbetulkan dan mengembalikan kuasa kepada yang berhak. Dia terpaksa melawan suatu sistem yang sudah cukup kompleks.

Detik kejayaan yang dirintis, sedikit demi sedikit, sehingga dia akhirnya berjaya berdepan, satu lawan satu dengan sang maharaja. Berada begitu ‘hampir’ dengan ‘singgahsana’ maharaja. Dekatnya dia dengan maharaja, sehingga maharaja tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Walaupun menyentuhnya.

Pilihan terakhir yang terpaksa dipilih oleh maharaja-memperjudikan kerajaannya dalam usaha menghapuskan ‘pemberontak’ dan ‘pengkhianat’ ini. Dan itu yang dipilihnya.

Cuma satu langkah terakhir yang menjadi persoalan. Kerajaan maharaja yang korup tumbang dan peranan demokrasi dikembalikan. Tetapi harganya cukup mahal. Sang perwira harus ‘ tumbang’, ‘rebah’ dan ‘pergi’ bersama. Dia tidak sempat pun melihat hasil usaha gigihnya itu. Tapi namanya dijulang dan diabadikan sebagai sang perwira. Sang Gladiator: Perwira rakyat.

V

Soalnya kini, langkah ‘itu’ makin hampir. Seperti cerita di atas, apakah kesudahan yang sama bakal terjadi kepada sang perwira, yang dijulang-julang rakyat ini? Apakah harga yang sama terpaksa dibayar untuk membawa pulang sebuah kebebasan.

Saya hanya mencoretkan.

Saya hanya memerhatikan dari jauh.

No comments: