Sunday, 8 July 2007

Ummah-Centric: Bahagian 2


Pemahaman sebenar

Sekali lagi faham ummah-centic sebagai suatu pendekatan dan bukan ideology, maka sedikit sebanyak kita akan nampak perubahan dan pastinya ke arah kebaikan (harapnya begitu). Dan sebenarnya sebagai suatu pendekatan ia merangkumi aspek-aspek penting seperti ini:-

1. Berkaitan pemahaman

Ummah-centric adalah sebenarnya berkaitan mind set dan imagnasi kita. Ia adalah perkongsian dan kerjasama di peringkat minda dan akal. Kita, sekiranya sejak dari awal sudah bersedia menerima bahawa sebagai suatu jamaah kita bekerrja untuk ummah dan masyarakat. Jadi sebarang kerja yang di lakukan oleh mana-mana jamaah lain untuk ummah adalah juga kerja kita, maka seolah ia adalah suatu usaha oleh kita juga.

2. Berkaitan keperluan berjamaah dan disiplin di dalamnya

saya sebenarnya suka reserve it as it is berdasarkan fahaman masing-masing terhadap keperluan jamaah. Bagi saya umumnya, jamaah dalam erti kata sebenar akan menjalankan tugas dengan baik dan secara individu kita pastinya tidak mampu bekerja untuk menyampaikan Islam secara individu (dan itu sudah pasti, dan hakikatnya setiap orang yang claim kata dia berda’wah kepada Islam, samada dia cuba mengelak dan menafikan dia terlibat dengan jamaah, sebenarnya dia juga mempunyai jamaah sendiri…Cuma adakah terorganisasi atau pun tidak, itu saja. saya Cuma menyatakan hakikat secara lafdhi….siapa yang cuba menafikan, itu hak anda). Dan berlanjutan daripada itu, tiada halangan untuk anda berjamaah/ berorganisasi dan bahkan sekiranya anda berjamaah, maka tetapkan disiplin dan teguhlah di atas apa yang anda fahami. Ini bukan lagi persoalan. Tiada siapa yang cuba mengetengahkan pendapat tentang isu lompat jamaah. Sekiranya anda telah berada di dalam suatu jamaah, teruskan sekira anda rasa itu yang terbaik buat anda. Ini persoalan pemahaman individu tentang sesuatu perkara, sekiranya seseorang tidak faham, dan dia pula hanya terikut-ikut, maka itulah yang menghasilkan orang-orang yang digelar ‘mutasaqitun ala tariq ad-da’wah’-dek kerana hanya terikut-ikut dan tidak memahami dengan sebenar. (saya tidak berniat untuk menyentuh isu bai’ah dan implikasinya dalam persoalan al-wala’ wal bara’). Dan sekiranya anda tidak pula berkait kepada mana-mana jamaah, itu pun tidak menjadi masalah, asalkan ia adalah hasil pemahaman dan penelitian anda yang terbaik, dan yang pasti anda akan terus boleh bekerjasama dengan mana-mana jamaah yang juga bekerja untuk menyampaikan Islam, semudah itu (kalaulah semudah itu).

3. Ummah-centric adalah fahaman golongan tengah

seperti mana perbincangan saya mengenai golongan tengah dalam tulisan sebelum ini, ingin sekali lagi saya kaitkan dan jelaskan bahawa faham ummah-centric adalah fahaman yang dipegang oleh golongan tengah. Dalam erti kata ini, hasil fahaman yang jelas tentang fiqh keutamaan, dan pegangan yang jelas, golongan tengah tidak menolak akan kepentingan dan keperluan jamaah, bahkan sangat menggalakkan disiplin terhadap jamaah yang dipegangnya, tetapi dalam masa yang sama tidak menjadikan seolah segala yang datang daripada jamaah adalah terbaik dan betul sahaja, manakala pandangan daripada jamaah atau pihak lain adalah salah belaka. Inilah pemahaman tentang politic plus-plus (iaitu segala yang baik digerakkan bersama, regardless of dia datang dari pihak mana pun, dah nampak benda tu baik, buat je lah). Masalahnya sebahagian kita masih lagi terkongkong dan terperangkap dengan pendapat bahawa apa yang datang daripada pihak lain, walaupun betul dan baik, tetap tidak baik dan salah, manakala yang datang daripada jamaahnya walaupun kurang tepat, dianggap yang terbaik.

4. Islam vs. Jamaah:?

Tentu sekali tajuk sebegitu pastinya eye-catching. Sebab seolah cuba nak mewujudkan conflict antara Islam dan Jamaah. Sebenarnya konotasinya bukan begitu, tetapi hamper begitu. Pendekatan Ummah-centric lebih melihat kepentingan dan keperluan ummat (Islam) berbanding jamaah. Namun sayangnya, masih ada di kalangan pendokong da’wah, bahkan pimpinan tinggi jamaah, yang masih tidak jelas akan hal ini. Bila diajukan soalan kepada mereka samada yang mana lebih diutamakan dan penting: Islam atau jamaah? Maka dijawabnya Jamaah!!! Ini yang menyebabkan saya cukup sayu dan masih tak faham bagaimana pimpinan jamaah yang memimpin begitu ramai pengikut masih tidak jelas dengan isu asas sebegini, antara memilih yang mana patut di utamakan dan ini adalah outcome daripada fahaman yang masih tidak jelas, dan penguasaan fiqh al-auwlawiyyat yang rapuh. Intipati kepada pendekatan ummah-centric ialah apabila isu berkaitan ummah perlu diutamakan, maka kepentingan jamaah harus diletakkan ke tepi, akan tetapi ini adalah antara masalah yang dihadapi (akan tetapi saya cukup menyokong sebarang kerjasama yang bukan sekadar bersifat okasional. Tetapi, some credit should be given to those yang dah bertungkus lumus mengambil peduli isu murtad, dan lain-lain).

5. Pendekatan mengenai mahabbah, toleransi, kasih saying, dan thiqah.

Seperti yang sudah dinyatakan di awal-awal tadi bahawa antara lain masalah yang timbul hasil jamaah-centred approach, seolah telah menghasilkan suatu suasana yang kurang baik, atmosphere tak nyaman dan sebagainya, maka pendekatan ummah centric sebenarnya cuba untuk mengikat semula penggerak-penggerak dan aktivis da’wah secara keseluruhannya di bawah suatu rasa keterikatan dan kebersamaan, hasil dari mentality dan mind set yang jelas, dan akhirnya dapat menghasilkan perasaan dalaman yang selesa, bahagia, dan rasa percaya di antara individu dan seterusnya saling bekerjasama, yang tentunya bersifat long-term. Apa lagi yang diingini oleh semua melainkan rasa mahabbah dan mawaddah?...biar berlainan pendekatan, jalan dan cara berda’wah, yang pasti mungkin audiens kita mungklin berbeza, jadi mengapa harus berebut ahli? (masih ada kan?). Ya di samping selepas ini masing-masing buat kerja masing-masing, kita sama-sana kena mempertingkatkan kepercayaan dan at least lah salamah as-sadr di kalangan pendokong da’wah, dan tak ada lagi bermuka-muka atau bermasam muka (kenapa tak percaya ke berlaku? Turunlah ke medan dan perhatikan sendiri, especially kat kampus waktu pilihan raya…)

Kesimpulan

Pendekatan ini sebenarnya adalah kesinambungan fahaman golongan tengah, dan menghasilkan kata-kata seperti ini: ‘semua jamaah adalah baik, betul, Cuma yang terbaik dan yang aku rasa betul untuk aku ialah ini dan ini….’

Jadi, kalau dah sampai penerangan dan perbincangan panjang lebar ini, di mana masalahnya? Kalau ini dijadikan fahaman yang lebih baik berbanding istilah ummah-centric sebelum ini, di mana masalahnya? Apakah akan ada yang masih melihat idea atau pemahaman ini mencabar wibawa jamaah dan authority jamaah? Atau sebenarnya masih takut untuk menjalin kerjasama yang lebih erat? Sekurang-kurangnya, melalui pendekatan ini masalah pertembungan jamaah dalam isu-isu remeh dapat diselesaikan.

Jadi. Apa tindakan kita sekarang?

Read More..

Ummah-Centric: Bahagian 1


Pengenalan

Rasanya saya agak terlambat untuk membangkitkan semula isu ini, tapi entah mengapa sebab rasa seolah dah tersentuh isu ini dalam perbincangan mengenai golongan tengah sebelum ini, rasanya elok juga saya kemukakan pandangan peribadi saya berkenaan isu ini.

Walaupun lambat, relevancy nya masih ada, sebab melalui perbincangan dan pembacaan saya secara umum berkenaan respon masyarakat yang peka berkenaan istilah ini (khususnya di kampus dan di kalangan aktivits gerakan da’wah) mereka seolah telah di misled…samada akibat salahfaham sendiri, disalahfahamkan oleh oleh lain, atau orang yang mengutarakan istilah itu sendiri yang mungkin salah ‘parking’ penggunaannya (saya tak pasti).

Salahfaham

Kita sebenarnya di bawa ke persimpangan akibat dua perkara; samada memang pencetus istilah itu sendiri memang bermaksud bahawa istilah itu adalah seperti yang difahami oleh orang ramai, atau pemahamannya telah disalahfahami oleh orang lain. I would like to reserve it as it is. Biarkan situasi itu seperti itu. Tapi sekadar mengambil secedok-dua pandangan umum mengenai ummah centric yang cuba membawa maksud keutamaan harus difahamkan semula agar kita memfokus kepada kepedulian yang berkaitan ummah, dan tidak bersifat jamaah, dalam erti kata lain jamaah hanyalah alat, yang penting ummah. Mana-mana jamaah adalah sama, dan anda bleh pergi kepada mana-mana jamaah (ta’addud al-jamaah), sebab semuanya sama sahaja, dan bai’ah bukanlah isu yang penting di dalam memberikan keutamaan kepada ummah.

Itu, saya rasa pendapat umum bila dihadapkan dengan istilah yang canggih-manggih itu. Sekali imbas ada dua implikasi daripada fahaman itu, antaranya ia seolah ingin meletakkan dan menilai semula kedudukan jamaah dan fahaman jamaah-centric yang telah menjadi tonggak penting penyebaran kefahaman Islam di Malaysia (khususnya, tanpa menafikan kesannya di Negara-negra lain) dan membawa fahaman itu dekat atau cenderung kepada fahaman atau prinsip ‘salafi’ (betul ke sebegitu? Atau hanya sebahagian salafi sahaja yang berpendapat sebegitu?) yang tidak begitu prefer penggunaan jamaah dan banyak memahamkan istilah ‘jamaah’ dalam hadith-hadith berkaitan (‘alaikum bil jamaah) sebagai jamaatul muslimin kullihim.

Saya sebenarnya suka dalam memahamkan semula atau memberi pemahaman baru (kalau ianya tidak merupakan fahaman yang difahami sebelum ini..) berdasarkan pengamatan dan penyesuaian istilah ummah-centric ke dalam situasi dan keadaan-keadaan yang realitinya berlaku di depan mata kita. Sebab saya sedih sebenarnya bila pemahaman yang tidak tepat, telah membawa sebahagian ‘orang jamaah’ untuk menuduh pempopular istilah itu sebagai ‘seorang yang tidak berdisiplin di dalam jamaah’. Bagi saya ia (ungkapan itu) adalah tepat, menurut pemahamannya terhadap ungkapan yang dibuat (oleh pelopor istilah itu), tapi mungkin tidak tepat kalau ummah-centric dilihat berdasarkan kes-kes yang benar-benar berlaku di hadapan mata kita sendiri.

Study case

a) Menyorot kembali sejarah kegemilangan da’wah, kampus telah menjadi agen istimewa dalam mencorakkan dan mencetak kader-kader dan pendokong da’wah yang sangat komited dalam pemahaman Islam. Namun, as time goes by, sedikit demi sedikit bahkan sejak dari awal-awal lagi kita telah dapati adanya sentiment ‘persaingan’ (yang tentunya tidak sihat…) di kalangan organisasi da’wah untuk merebut ahli, antara lain dan sanggup menggunakan taktik-taktik yang tidak sepatut digunakan.Taktik kotor seperti memburukkan jamaah lain, membrain-wash anggota-anggota baru mengenai keburukan jamaah lain dan keutamaan jamaahnya (bahkan ada yang seawal minggu pertama kemasukan pelajar baru, yang mana sebahagiannya telah berjaya di tarik sebagai ahli, telah didedahkan dengan topic perbandingan jamaah. Apa ini semua?....sungguh kecewa saya dengan situasi ini), merosakkan majlis dan pertemuan jamaah lain (pernah berlaku dan anda jangan terkejut. Ke mana perginya kesantunan dan ketenangan…lapang dada, salamatus-sadr? Adakah anda rasa Islam akan berjaya dengan individu-individu yang sebegini?)

Saya secara jelas menyatakan bahawa memang benar tidak semua ini terjadi secara menyeluruh, dan tidaklah ia menggambarkan pendirian setiap organisasi dan kepimpinannya, namun jika ini situasi yang berlaku saya tidak hairan bahawa ini adalah hasil..atau outcome yang akan terjelma hasil kita memberi penekanan yang sedikit terlebih kepada faham jamaah-centric. Maaf sekiranya ini akan menggangu fikiran sebahagian daripada kita, tetapi sekiranya kita serius dalam memahami isu ini, kita akan mengambil langkah segera dan melakukan sesuatu yang lebih baik untuk memperbaiki keadaan.

b) Isu lain yang berkaitan dengan keperluan memahamkan faham ummah-centric ini adalah isu kepercayaan (thiqqah) yang wujud di kalangan aktivis pelbagai gerakan da’wah, yang saya dapati masih di tahap yang rendah, kalau tidak pun tiada sama sekali. Semua sedia maklum, masing-masing sedang berusaha menyampaikan Islam, namun seolah wujud ..the inner feelings yang macam tak nak meletakkan kepercayaan secara bersama…semua (tidak semua in the sense that memang semua, cume secara umumnya, bahkan mungkin saya sendiri…kadang-kadang tu terasa juga sebegitu) tak kiralah jamaah apa pun dia, kita seolah nak berselindung antara satu sama lain, bahkan sehingga ke tahap qaul atau statement daripada seseorang dari jamaah lain, tidak akan dipercayainya dan akan di buat kajian lain terhadap statement itu. Bahkan ada yang walaupun mengikut kata hatinya meminati seseorang (dalam usaha untuk mendirikan rumahtangga, yang kebetulan adalah dari jamaah lain) telah membatalkan hasratnya atas alasan berlainan jamaah. Lebih daripada itu, memang sehingga ke tahap seolah ingin bermusuhan sedangkan mereka sama-sama sedar yang mereka sedang memikul beban da’wah, akan tetapi bermasam muka, dan sebolehnya menjauhi antara satu sama lain. Ini mungkin tidak terjadi di peringkat pimpinan yang mungkin boleh nampak kerjasama dan keilkhlasan (itu berdasarkan pandangan luarlah, dalam hati saya no comment…saya Cuma ingin mengambil langkah berbaik sangka)…tapi kalau kita pergi ke akar umbi, isu ini semakin lama semakin parah, dan saya begitu sedih dengan situasi yang mencengkam. Saya secara peribadi tidak ada interest dalam membawa ke hadapan isu ini, tapi sekadar yang boleh saya buat ketengahkan rahsia umum ini, dan at least kita sama-sama sedar.

c) Antara perkaitan lain ialah persoalan kerjasama antara jamaah. Sedangkan isu thiqqah pun tak settle lagi, inikan pula kerjasama. Sedangkan secara jelas kesemuanya berpegang dengan statement: ‘bekerjasama di dalam perkara yang disepakati…”. Namun realitinya memang jauh sekali (saya tak menafikan di dalam persoalan yang bersifat global sikit khususnya isu Palestin, mereka sudah sedikit longgar dan bekerjasama) kalau ada pun hanya bersifat okasional, khususnya dalam menghadapi pilihanraya kampus (dan hakikatnya di lapangan umum pun begitu, di kalangan jamaah pun masih tak settle isu ni..) dan yang itu pun masih dok bergaduh tentang pembahagian tak sama, yang seorang nak kuasa lebih, yang seorang nak concur banyak kerusi, dan di kampus-kampus yang minority-pun tak dapat jalinkan kerjasama yang bersifat long-term.

Dan saya lebih suka membawa dan menghalakan kes study yang di atas kepada pemahaman semula fahaman ummah-centric yang saya cuba fahami ini. Sebenarnya semua situasi dan case study di atas membawa kita ke pada kesimpulan bahawa kita sebenarnya (dan memang hakikatnya ada, Cuma kalau ada yang nak menafikan, itu hak merekalah) ada masalah di dalam memahami pengertian jamaah, peranan, dan perkaitannya dengan kebangkitan ummat. Maka saya melihat bahawa ada peranan di situ yang boleh di isi oleh faham ummah-centric sebagai suatu pendekatan long-term dalam menyelesaikan permasalahan tadi (kecualilah kalau ada yang berpendapat perkara-perkara yang dibangkitkan bukanlah masalah pun).

Read More..

‘Golongan Tengah’: Bahagian 3


2. Akhlaq

a) Intipati terpenting dalam fahaman golongan tengah ini ialah buah atau natijah daripada pemahaman yang jelas tentang aspek-aspek di dalam berbeza pendapat. Antara lain ialah sikap toleransi yang terjelma di dalam mereka mengemukakan pendapat dan seterusnya di dalam berbeza pandangan. Apa yang saya maksudkan sebagai toleransi ialah mereka bersedia untuk menerima sebarang perbezaan pendapat, tetapi seperti yang di jelaskan sebelum ini, di dalam lingkungan perkara-perkara yang dibenarkan sahaja. Bukan sekadar itu, mereka menerima pandangan pihak lain sebagai kemungkinan suatu yang betul juga, namun setelah perbincangan berlaku, mereka merasakan yang terbaik untuk mereka berdasarkan pengetahuan yang ada pada mereka, adalah pandangan mereka itu. Namun ini berjalan dengan sikap yang sangat sederhana, dan sekiranya setelah perbincangan berlaku, masih kedua-dua pihak berpegang pada fahaman masing-masing, maka di atas dasar berbaik sangka kira bertoleransi terhadap pandangan masing-masing dan tidak berbalahan secara terbuka. Mungkin secara fahaman kita berbeza, tetapi biarlah kita mengambil sikap berbaik-baik di dalam berbuat kebaikan dan perkara-perkara bermanfaat yang lain. Ini sangat bertepatan dengan akhlaq yang di tunjukkan oleh Ibn Abbas r.a dan saidatina A’isyah r.a yang walaupun secara ilmiah sangat tidak sefahaman, namun di luar majlis ilmu sangat menghormati antara satu sama lain. Biarlah kita mengambil iktibar dari kata-kata Ustaz Hasan Al-Banna di dalam isu ini, bahawa hendaklah kita bekerjasama di atas perkara yang kita sama-sama sepakati, dan berlapang dada di dalam perkara-perkara yang kita berbeza pendapat.

b) Selain itu, sikap kita sangat memperhatikan percakapan yang bersopan santun ketika berbicara dan tidak cepat melontarkan tuduhan melulu terhadap pihak yang kitaberbeza pendapat itu. Biarlah perbezaan pendapat itu berlaku di dalam majlis-majlis perbincangan yang dengan niat yang ikhlas bagi sama-sama mencari kebenaran, dan tidak terbawa-bawa sehingga keluar majlis. Namun sedihnya inilah hakikat yang sering berlaku, apabila sebahagian masyarakat kita sering sangat mengulang-ulang perbezaan-perbezaan yang wujud di antara pendapatnya dan pendapat orang lain, sehingga menyusahkan dan memberatkan orang lain. Sedangkan sebenarnya mereka ketika selain di waktu sesi-sesi perbincangan ‘ilmiah’ boleh bekerjasama di dalam perkara-perkara lain yang secara tidak langsung membawa orang yang langsung tidak pernah bersembahyang untuk sembahyang, daripada terus bertikam lidah mengenai boleh atau tidaknya membaca doa qunut. Ini sebenarnya hasil dan natijah pemahaman dan keutamaan yang jelas, dan bukan sikap yang dibuat-buat. Sabda baginda s.a.w:

‘ Sesungghnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang baik..”
(maaf saya tak sempat buat rujukan terhadap hadith di atas, sapa2 yang berkesempatan boleh bantu…)

Berlanjutan daripada itu, masih ramai yang saya dapati bersikap tidak menghormati tokoh-tokoh penting sesuatu fahaman sehingga sanggup mengkafirkannya, atau setidak-tidaknya menggelarkannya dengan pelbagai gelaran yang kadang-kadang tidak benar pun dan hanya disandarkan kepada pendapat ‘ustad-ustad’ mereka. Sebagai contoh, saya sendiri mendengar di depan saya, seseorang menggelarkan Syeikh Yousif Al-Qaradawi dan Ustaz Hassan Al-Banna sebagai kepala Wahhabi! (malangnya apabila saya meminta penjelasan mengenai perkara itu, dia hanya menyatakan bahawa perkara itu diberitahu oleh syeikh/ustaznya…la macam tu pulak?)

Selain itu, satu ketika di mana saya dengan penuh rasa tanggungjawab telah menanyakan kepada seseorang akan kewujudan dalil-dalil bagi menyokong sesuatu pendapat, maka tidak semena-mena orang tersebut telah mengungkapkan bahawa syiekhnya akan membuat begini (sambil menunjukkan penumbuknya) bagi orang yang sentiasa nak dalil, dalil, dalil….Saya tak faham..(walaupun dalam keadaan berseloroh) apakah dalam situasi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawapan dan hujah bagi memperakui sesuatu pandangan, itu jawapan yang saya dapat. Sungguh saya katakan itu, memanglah isi kandungan yang tersemat di dalam hatinya mungkin (mungkin dia dah lama baran dengan golongan yang sentiasa nak setiap pandangan ada dalil dan hujah, dan elok pula saya adalah point ‘baik’ untuk dia lepaskan pandangannya itu….mana tau?)

c) Yang lain, meliputi akhlaq untuk tidak mencemuh atau memerli pandangan orang lain. Sayangnya kita dapati, ramai di kalangan ‘orang-orang kuat’ (sekadar suatu istilah…atau anda ada maksud terhadap istilah itu?) fahaman-fahaman tertentu yang mengambil sikap mempermain-mainkan pandangan dan fahaman serta kepercayaan orang lain, yang sekurang-kurang bersumberkan dalil yang mereka kira kuat dan sahih. Pernah saya dikejutkan dengan akhlaq seorang ‘orang kuat’ yang di dalam suatu sesi ceramahnya memperolok-olokkan hujah tentang perlu berqunut dengan sengaja seolah bermain-main dengan tangan membolak balikkan tangannya seperti bermain-main. Pointnya di sini tidaklah pula saya ingin menyatakan stand saya berkenaan isu qunut, namun kadang kala sikap kita yang tidak professional dan memperolok-olokkan hujah pihak lain seolah-olah seperti ia tidak mempunyai hujah langsung di dalam Islam. Jika itulah sikap yang kita ingin tonjolkan, maka daripada tidak membaca doa qunut, orang-orang yang tidak ‘faham’, akan tidak bersembahyang terus….adakah ini yang kita mahukan? At least, bercakaplah dengan cara yang elok dan baik, dan hormatilah pandangan orang lain.

3. Perbincangan

a) Sekali lagi secara jelas, golongan tengah bukanlah golongan yang tidak tergolongan dari mana-mana fahaman yang berbeza pendapat di kalangan mereka,malah golongan tengah sangat faham adalah tidak salah untuk mempunya pegangan tertentu, Cuma yang membezakan mereka adalah mereka tidak hanya menyatakan bahwa pandangan mereka sahaja yang betul, dan yang lain adalah salah dan batil, Cuma bagi mereka , menurut pandangan dan kefahaman mereka yang terbatas, fahaman tertentu mereka itulah yang terbaik untuk mereka. Maka sekali lagi, tidak timbul isu, golongan tengah adalah golongan ‘liberal’ ( bukan Islam liberal tetapi dalam erti kata khusus tidak mempunyai pegangan tertentu di dalam sasuatu isu, ikut dan…dan hanya ikut pendapat ramai tanpa kaji selidik), kerana secara terang mereka adalah orang yang mempunyai pandangan tertentu dan bergabung dengan pandangan tersebut. Cuma yang menarik sekiranya mereka ini adalah golongan tengah, mereka mungkin boleh jadi sebahagian dari fahaman ‘salafi’ (contoh sahaja) dan sebahagian lagi ‘khalafi’, namun boleh menghormati pandangan orang lain, boleh jadi ABIM dan JIM, namun masih menghormati entity masing-masing.

b) Mereka juga memahami bahawa dalam masalah ilmu, mereka tidak menyempitkan pandangan terhadap pandangan mereka dan ‘puak’ mereka sahaja yang betul, bahkan bersedia mendengarkan hujah pihak-pihak yang berbeza pendapat dengan mereka, dan mungkin lebih dari itu, bersedia untuk mengubah persepsi dan pandangan mereka tentang sesuatu isu.

c) Mereka juga di dalam sesi-sesi perbincangan hanya akan menggunakan saluran yang tepat sebagai medan perbincangan dan hanya dikhususkan terhadap golongan yang berilmu pengetahuan dan berkebolehan sahaja. Maka kita akan dapati bahawa perbincangan-perbincangan ilmiah sebegini yang kadang-kadang menyentuh peribadi dan pandangan seseorang individu atau tokoh di kalangan masyarakat, atau prinsip asas di dalam sesuatu organisasi da’wah atau politik, diadakan secara tertutup, terpandu, terarah, dalam suasana muhibbah, dan penuh penghormatan dan hanya berlaku di kalangan orang-orang yang berkebolehan, berkemampuan dan mempunyai kekuatan di dalam berhujah dan berdalil. Saya secara peribadi menyatakan bahawa saya sendiri adalah tidak layak untuk berada di situ. Namun sekiranya kita mengambil langkah-langkah proaktif sebegini, dengan niat yang ikhlas dan berlapang dada maka kita akan beroleh manfaat. Jika tidak, seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini, ia akan hanya menjadikan keadaan worst, bertambah teruk dan tidak menambah pahala sesiapa pun. Satu contoh yang sangat baik yang pernah saya dapati, di sebuah Institusi pengajian tinggi di Republik Yemen, di mana secara jelas perbincangan mengenai pendapat-pendapat Imam Nawawi r.a dibincangkan secara ilmiah, penuh penghormatan terhadap Imam Nawawi dan sentiasa mendoakan kerahmatan baginya. Begitu juga peraturan untuk tidak membincangkan hasil perbincangan itu secara umum dengan public membuatkan suasana harmoni dapat dikekalkan memandangkan masyarakat umum tidak mengetahui akan isi kandungan perbincangan. Selain itu, bacaan qiraat yang berbeza di dalam Solat juga dilarang oleh pihak Universiti untuk dibawa dan dibacakan di luar kampus, khususnya di kampung-kampung kerana khuatir masyarakat akan merasa janggal dan menganggap bahawa bacaan itu adalah salah seterusnya membawa fitnah (sehingga begitu teliti sekali). Namun, by implication, sebaliknya kita dapati di Malaysia ada orang yang cuba membincangkan isu-isu asas dan prinsip secara pukul rata dan terbuka kepada umum. Bagi mereka mahasiswa universiti dan orang professional adalah golongan intelek dan boleh berfikir. Namun tidakkah mereka terfikir bahawa sebahagian besar mereka masih merangkak membaca Al-Quran, perkara asas fardhu ain pun tak settle lagi, baru masuk Islam, atau Islam hanya pada nama-tetapi telah diperkenalkan dengan istilah-istilah canggih tajdid, gerakan pemurnian aqidah, ijtihad, tidak perlu bermazhab, dan pandangan-pandangan yang saya khuathir (bukan disebabkan ianya tidak betul atau tidak boleh, bahkan adalah lebih baik kalau setiap orang dan individu di dunia ini boleh berijtihad dan mengistinbat hukum terus daripada nas-nas asal tanpa merujuk pendapat Imam-imam muktabar, namun hakikatnya dengan penguasaan bahasa dan ilmu alat yang lain yang sangat terbatas, apakah mereka boleh terus membuka fathul bariye? Kata orang nak baca pun baris jatuh-jatuh lagi…) maka dengan berbuat demikian terhadap orang-orang awam kita sebenarnya telah berbuat zalim terhadap mereka. Kalau sekadar exposure, saya tidak kisah sangat, tapi kalau mereka diberikan sources dan dibenarkan untuk mencari sendiri hukum direct dari sumber asal…ini akan lebih memarahkan lagi keadaan dan menyebarkan fitnah..dek kerana tiada pengetahuan usul fiqh, maka mereka mengeluarkan hukum berdasarkan pandangan mereka sendiri….saya khuatir akan keadaan ini. Langkah terbaik, biarkan mereka ittiba’ pada mana-mana mazhab, tanpa menjumudkan mereka….tapi sikit demi sedikit ajarkan bersama dalil untuk ibadah tertentu dan sebagainya…tak semua orang dikurniakan kebolehan dan kelapangan untuk berijtihad….)

Kesimpulan

Sekali lagi, dapat kita simpulkan bahawa, golongan tengah bukan kumpulan berorganisasi baru yang muncul untuk memecah belahkan lagi masyarakat yang sedia terpecah belah, bahkan ianya hanyalah perkumpulan individu yang berpegang pada paksi paksi asas dalam mengemukakan pandangan mereka. Ia adalah perkumpulan orang-orang yang sedar akan kepentingan menghormati kepercayaan dan pandangan orang lain, namun tidak pulak dia tidak langsung mempunyai pandangan tersendiri, bahkan sangat teguh pendiriannya terhadap sesuatu isu, akan tetapi bersedia mendengar pandangan dan penjelasan pihak lain.

Isu samada seseorang itu bersetuju atau tidak bukanlah penting sangat dalam sesuatu isu, namun prinsip-prinsip asas dalam menjadi golongan tengah ini adalah menekankan semula keutamaan dan kecantikan akhlaq dan keperibadian mulia, dan inilah sebenarnya menjadi faktor perubah kepada pemahaman seseorang di dalam sesuatu isu, dan sanggup berubah kepada pandangan yang lain, dan bukanlah kepada hujah dan alasan sebenarnya.

Read More..

‘Golongan Tengah’: Bahagian 2


Kriteria dan Prinsip-prinsip

Sudah semestinya, dalam mengutarakan sesuatu idea, tentunya ada alasan dan faktor pembeza berbanding golongan (yang saya sendiri pun sekali lagi tidak gemar untuk memecahkan kepada golongan baru) yang lain-lain. Antara lain meliputi:-

1. Pemahaman yang jelas

a) Golongan yang tergolong dalam Golongan tengah ini sebenarnya mempunyai worldview dan tasawwur yang sangat jelas dalam memahami isu yang timbul serta tahu di mana pokok pangkal yang telah membawa perbezaan pendapat itu. Antara lain ialah ia faham bahawa perbezaan pendapat hanya boleh berlaku di dalam perkara yang tidak qat’i (sabit) di dalam Islam. Sebab itu, golongan ini tidak akan melayan pandangan-pandangan dangkal yang cuba mengubah dan menggugah prinsip-prinsip yang telah lama jelas di dalam Islam dan diperakui oleh kebanyakkan fuqaha dan ulama. Bagi mereka sekiranya persoalan yang timbul adalah perkara yang bersifat dhanni (tidak sabit di dalam Islam) maka pandangan itu patut juga di berikan peluang dan ruang untuk perbincangan serta mengemukakan hujah.

b) Selain itu juga, mereka sangat menekankan akan kepentingan Ilmu pengetahuan yang cukup serta mendalam di dalam membincangkan sesuatu pendapat baru atau pandangan yang berlainan. Ini meliputi juga kepakaran seseorang di dalam bidang-bidang berkaitan, serta susur galur pendapatnya itu. Sebab itu, sekiranya, sebagai contoh di dalam masalah Hadith, seseorang yang tidak mempunyai penguasaan bahasa arab yang baik, tidak memiliki ilmu alat lain seperti mustalah hadith, penguasaan tentang rijal hadith, serta kitab-kitab dan matan-matan hadith, maka seeloknyalah seseorang itu tidak mengemukakan pendapat yang lebih banyak bersandarkan pendapat dari pembacaannya sendiri. Kita mesti jelas, khususnya di dalam masalah Ilmu berkaitan Islam (sekali lagi saya tidak gemar membahagikan ilmu kepada islam dan non-Islam, duniawi dan ukhrawi, tetapi untuk memudahkan perbincangan, saya hanya mengekalkan istilah tersebut) keaslian dan silsilah, rantaian ilmu itu mestilah berkesinambungan. Maka dengan sebab itu, istilah berguru dan bertalaqqi itu sangat penting. Di sini saya tidak berniat untuk merendahkan tahap ilmu sesiapa pun yang telah banyak beroleh manfaat melalu pembacaan, namun itulah peraturan dan undang-undangnya.

c) Berkelangsungan daripada pemahaman di atas, mereka juga memahami akan kepentingan agar pandangan itu bersumberkan Al-quran dan As-sunnah, serta pandangan lain yang utama. Jadi dengan jelas pandang yang di sandarkan kepada qaul yang lebih kukuh dan disokong oleh pendapat yang kuat daripada ulama-ulama sepanjang zaman, yang saya kira walaupun mereka tidaklah ma’sum, namun pastinya lebih ‘alim daripada kita, patut kita pertimbangkan. Saya suka membangkitkan isu ulama tidak ma’sum dengan persepsi kita terhadap ulama’-ulama. Bagi saya kema’suman ulama memang tidak pernah menjadi isu pun, sebab ia adalah jelas bahawa hanya ‘sohib hadhal maqam’ sahaja yang ma’sum. Akan tetapi ketidakma’suman mereka itu, tidaklah pula menjadikan mereka seolah boleh diketepikan begitu sahaja mengambilkira penguasaan ilmu mereka yang sangat luas, kezuhudan, kealiman, ketaqwaan dan keilhlasan mereka terhadap ilmu. Bagi mereka pahala atas apa yang telah mereka lakukan, dan moga-moga Allah membalas segala amal saleh mereka itu dengan ganjaran yang besar. Namun sekali lagi, kita beranjak kepada inti pati fahaman golongan tengah, di mana di atas ketidakma’suman para ulama inilah mereka bersedia menilai semula pandangan-pandangan mereka, akan tetapi secara penuh terhormat, penuh penelitian, ketatasusilaan, dan tidak menghina dan mencerca mereka di samping sentiasa memohon keampunan dan kemaafan bagi mereka. Inilah sebenarnya sikap yang jelas golongan tengah di dalam jarh wa ta’dil terhadap para ulama dan sarjana Islam. Kadang-kadang kesalahan di dalam pendapat itu tidak dapat dielakkan, itulah fitrah yang disusun oleh allah, namun adab kita dengan mereka terus dipelihara, walaupun ada kesalahan serba sedikit di dalam pendapat mereka itu. Maka golongan tengah sama sekali tidak dapat menerima padangan orang-orang dangkal yang cuba mengajak masyarakat membuang atau membakar naskhah hasil karya dan tulisan agung ulama-ulama silam. Mereka seolah tidak memahami akan kewujudan proses tahqiq dan tashih, serta lain-lain proses pemurnian (saya tak tau diorang nak tunjuk apa? At least bagilah sedikit penghormatan terhadap karya orang lain. Sekurang-kurangnya tidaklah ia terlalu picis…sehingga perlu dibuang. Bahkan saya pernah melihat menghadiri kuliyyah para masyaikh yang masih terus membaca Tafsir Al-Kassyaf oleh Zamakhsyari (seorang penganut Mu’tazilah, menurut satu pendapat) dan mereka berharap dapat mengutip mutiara-mutiara berharga hasil tulisannya. Sedangkan kalau pendapat yang bagus daripada orang yang tidak Islam pun digalakkan untuk dipelajari…)

d) Satu lagi aspek penting yang mendasari fahaman ini ialah kejelasan akan prinsip-prinsip dalam fiqh keutamaan (Fiqh Al-Auwlawiyyat). Yang dimaksudkan dengan fiqh keutamaan ini adalah kefahaman yang jelas akan aplikasi hukum Islam di ketika dan waktu yang paling tepat dan sesuai. Ini adalah dasar yang sangat penting di dalam menentukan sebarang perbincangan itu akan membuahkan hasil yang baik atau sebaliknya. Kadang-kadang ramai di antara kita yang melupakan hal, walaupun sebenarnya isu yang diketengahkan itu bukanlah isu yang tidak penting atau lekeh-lekeh sahaja, bahkan adalah isu ummat dan sebagainya, akan tetapi di sebabkan kesalahan memilih masa, tempat, atau audiens, dan suasana telah menyebabkan isu itu tidak boleh dan tidak patut diketengahkan. Sebagai contoh isu kebatilan dalam Syiah (saya tidak mahu membincangkan detail isu ini di sini) pada ketika Iran menghadapi ancaman serangan daripada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Begitu juga membincangkan isu penyertaan dan pengundian di dalam pilihanraya pada ketika parti yang cenderung kepada Islam sedang meraih undi untuk pilihanraya. Inilah sebenarnya yang menjadi masalah kepada ramai orang. Kadang-kadang isu yang dibawa itu ada nas dan hujah yang kuat serta merupakan permasalahn kepada umat, namun timing yang salah telah menyebabkan situasi tidak membantu, malah menyebabkan umat lagi berpecah-belah. Saya rasa pembaca sendiri boleh memahami keadaan ini (Untuk memahami dan mendalami tentang Fiqh Al-Auwlawiyyat, pembaca boleh membuat rujukan sendiri terhadap tulisan-tulisan mengenainya serta berbincang dengan pakar-pakar berkaitan)

e) Mengambil sikap Ummah-centric (saya sekadar meminjam istilah yang popular di kalangan aktivis da’wah kontemporari ini, sebagai rujukan terhadap istilah yang saya juga akan gunakan, tetapi mungkin dalam erti kata dan penggunaan berbeza) dalam pemahaman mengenai perbezaan pendapat dan kesannya terhadap masyarakat. Saya terpanggil untuk menggunakan istilah ini setelah melihat penggunaan dan salahfaham mengenai konsepnya (menurut pandangan saya) oleh kebanyakan aktivis gerakan Islam. Umumnya bila bercakap mengenai ummah centric, konotasinya membawa implikasi terhadap kepedulian dan mengambilkira kondisi dan suasana masyarakat yang diutamakan (Ini salah satu konotasi yang saya buat terhadap istilah ummah-centric, yang mungkin tiada kaitan langsung dengan perbincangan di kalangan aktivis gerakan Islam. Saya akan cuba menulis lagi khusus mengenai isu ini di dalam tulisan-tulisan lain). Berbalik kepada sikap yang harus diambil oleh mereka yang dikelompokkan bersama dengan golongan tengah, ialah antara lain mereka meletakkan masyarakat sebagai suatu keutamaan yang sangat penting. Manakala di sisi lain perubahan juga merupakan suatu perkara yang sangat perlu, namun penerimaan masyarakat serta kesediaan mereka untuk berubah adalah sangat perlu diperhatikan. Oleh itu kita akan dapati, orang yang sangat prihatin terhadap kondisi masyarakat khususnya di Malaysia, yang sudah sejak berabad lamanya dididik dengan cara dan fahaman yang sedemikian, telah berakar umbi dengan fahaman dan kepercayaan tersendiri, maka perubahan drastik, reformasi social dan idealogi akan menyebabkan mereka shock, dan bereaksi, dan memberi respon secara negative. Saya tidak menafikan, dan ingin menyatakan secara jelas, bahawa ramai di kalangan kita khususnya golongan muda professional dan educated yang mungkin terkesan dengan fahaman ‘salafi’, namun, sedih sekali kita lihat sebahagian mereka gagal dengan cara dan method yang keras dan sedikit mendesak. Kita sendiri fahami bahawa, Asia Tenggara khususnya, telah lama berakar umbi dengan fahaman khalaf, maka dengan itu, method yang lebih lembut, bersopan santun, bersifat mendekati berbanding menghukum dan berbantah-batahan adalah lebih praktikal, dan berkesan berbanding yang satu lagi. Itu hanyalah sebagai suatu contoh yang berlaku di Malaysia. Oleh itu, mereka yang prihatin tentang masyarakat, khususnnya yang duduk di kampong, dengan tahap pendidikan yang rendah serta suasana yang tidak membantu, tidak seharusnya mereka itu dibebani dengan pemikiran ‘tajdid’ dan istilah ‘ijtihad’, yang sebenarnya akan lebih memberatkan mereka. Saya pasti dengan membawa pemikiran untuk merujuk sumber-sumber asal dan turath di kalangan mereka akan menyebabklan mereka merasakan kesusahan di dalam agama atau menyebabkan sebahagian kita mengambil peluang di atas ketidakfahaman ini untuk bentindak meringan-ringankan agama, sehingga seolah tidak ada langsung prinsip-prinsipnya. Maka atas dasar menjaga keharmonian dan memahami keutamaan masyarakat di situ untuk kenal Islam dahulu, maka digunakan apa yang selesa untuk mereka.

Read More..

‘Golongan Tengah’: Bahagian 1


Pengenalan

Mungkin ramai yang tertanya, mengapa tulisan dan tajuk perbicaraan yang seolah tidak ada signifikannya dibawa sebagai sebuah topik perbincangan. Namun, sekiranya diteliti secara mendalam inilah masa yang paling kritikal untuk sebenar membawa kembali idea lama, yang akan tetapi seolah telah dilupakan atau sengaja dilupakan oleh segolongan manusia, mungkin atas pelbagai alasan dan excuses.

Biarkan sebahagian kita untuk kekal begitu, sebab saya juga mempunyai suatu pandangan yang bukanlah baru, tetapi dibawa semula, untuk mengingatkan kita akan tentang siapa dan di mana sebenarnya kedudukan kita.

Pastinya kita akan menyedari tentang suasana dan situasi yang melanda negara kita tentang pertembungan golongan ‘tua’ dan ‘muda’, perbezaan politik yang tak sudah-sudah sejak dahulu kala, dan di kalangan orang da’wah, dengan organisasi mereka. Sebenarnya kita telah terperangkap dengan pergelutan istilah yang direka-reka, yang saya dapati telah menyebabkan sebahagian daripada golongan atau pengikut di atas telah melampau batas-batas tertentu, sehingga telah menyebabkan pertembungan itu seolah-olah antara hidup dan mati. Saya tidak nafikan yang saya juga mungkin terkesan dengan sebahagian pemikiran dan pemahaman yang saya buat atas kefahaman dan penelitian yang sedikit , namun bukanlah isu itu yang menjadi asas perbincangan ini, akan tetapi dorongan yang telah membawa sebahagian pengikut yang tidak memahami asas perbezaan tertentu berbanding pemahaman kelompok lain untuk bertindak mempertahankan pandangannya, menyalahkan yang lain dan memaki hamun dengan perkataan yang tidak sepatutnya diungkapkan sebagai seorang yang faham tentang Islam serta prinsip-prinsipnya.

Saya fikir, sehingga setakat ini pun mungkin ramai yang masih tak faham ke mana arah tuju perbincangan ini. Apa pun, tulisan di atas lebih banyak menerangkan sebab mengapa perlunya perbincangan ini dibawa semula dan diketengahkan dalam usaha memastikan keharmonian dan ketatasusilaan di dalam masyarakat dan disiplin yang pelbagai terjaga, terpelihara dan terus dikekalkan tanpa menolak akan keperluan terhadap perubahan dan agenda reformasi-pemikiran, politik, dan da’wah.

Saya sebenarnya tertarik untuk membawa pembaca menilai situasi di Malaysia khususnya (yang sebenarnya telah lama berlaku di dunia Islam secara amnya) dalam aspek pemikiran Islam-khususnya ‘pertembungan’ antara golongan ‘salafi’ dan ‘khalafi-pondok’ (yang juga saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pengistilahan yang sebegitu, tetapi untuk tujuan perbincangan saya memilih untuk mengekalkan istilah yang popular seadanya), dan juga dari aspek da’wah masyarakat antara berbagai-bagai organisasi yang ada di Malaysia. Pada awal-awalnya perkembangan sebegini di anggap baik, namun setelah sekian lama kita dapati wujud pula sentiment yang berbaur pergaduhan, cemuhan, perli-memperli secara tidak professional, bahkan bertekak dan bertegang urat. Lalu kita seolah ingin bertanya, di mana silapnya?. Apakah kesilapan pada berbeza pendapat, atau sebenarnya sikap, adab, dan metodologi kita dalam berfahaman yang telah memburukkan situasi sedia ada.

Untuk mengatakan saya mengikuti perkembangan pertembungan antara pelbagai fahaman ini, saya mengakui bahawa saya tidaklah begitu mendalam, namun berdasarkan beberapa kes dan penilaian pada situasi, saya boleh katakan bahawa ia adalah reality yang dihadapi secara nyata. Mungkin benar juga, bahawa golongan yang benar-benar berpegang teguh kepada isu kandungan fahaman masing-masing tidaklah begitu beria-ia benar mempertahankan dan memcela fahaman orang lain, dan mungkin juga segelintir sahaja yang berbuat demikian, namun ia seolah menunjukkan kepada kita semua itulah hakikatnya yang berlaku. Pernah berlaku di depan mata saya sendiri, kedua-dua golongan yang mengaku atau terkesan dengan fahaman ‘salafi’ dan ‘khalafi’ mengadakan suatu forum perbincangan untuk mencari kebenaran, di mana mereka telah pada awal-awalnya menyatakan kesediaan untuk berpegang pada yang benar, dan bersumberkan nas-nas yang kuat dan kukuh. Namun setelah beberapa lama perbincangan berlangsung, keadaan mula menjadi kecoh dengan kedua-dua pihak mula bertikam lidah, perli-memperli, tuduh-menuduh, dan berbalahan sesame sendiri, yang saya kira sudah terkeluar dari etika dan ajaran Islam sendiri. Ke mana menghilangnya kebenaran, saya pun tak pasti, tapi yang jelas masing-masing cuba menegakkan pendapat sendiri (yang sebenarnya tidak salah sama sekali, bahkan perbincangan kearah mencari kebenaran adalah amat digalakkan) namun mereka sebenarnya lebih beria-ia mencari kesalahan orang lain, dan menunjukkan bahawa merekalah sebenarnya yang betul. Saya secara peribadi tentunya telah mempunyai pendirian terhadap isu ini, namun bersedia melihat semula pegangan dan kefahaman saya sekiranya dasar-dasar dan hujah-hujah yang dikemukakan adalah lebih tepat, namun melihatkan situasi dan suasana yang langsung tidak menggambarkan etika dan keperibadian Islam, saya sebenarnya amat malu dengan keadaan itu, apatah lagi kalau ianya disaksikan dan dihadiri oleh orang-orang yang langsung tidak mengetahui pokok pangkal perbincangan. Saya menjangkakan di dalam perbincangan ‘Di mana Allah’ itu, silap-silap daripada orang yang tidak faham mengenai isu itu akan akhirnya menganggap Allah itu tiada (nau’zubillah min zalik)-namun itulah yang saya khuatiri.

Begitu juga pengalaman saya berkawan dengan pelbagai jenis orang dengan berbagai-bagai jenis pegangan politik dan organisasi da’wah, sehingga pernah secara langsung di depan mata saya sendiri, mereka berbalah dan bersangka buruk sesame sendiri bahkan hanya di dalam petty-petty things…isu-isu remeh yang sebenarnya adalah salahfaham dan berdasarkan hearsay, dan maklumat yang tidak tepat. Inilah sebenarnya masalah yang kita hadapi, walaupun mungkin pihak yang lebih tinggi secara hierarki tidak bermaksud begitu, namun sifat ‘jumud’ dan ‘ta’assub’ yang melampau pada sesuatu fahaman telah menjerat mereka ke dalam suatu situasi yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. (Saya sengaja tidak men’describe’ istilah jumud dan taasub…biar pembaca menelusuri sendiri definisinya supaya ada pemahaman lain terhadap penggunaan istilah itu)

Saya suka membawa pembaca kembali menelusuri ke dalam sirah Nabi Muhammad, di mana secara jelas kita dapati di kalangan sahabat sendiri bercanggah dan berbeza pendapat, contohnya di dalam kes pesanan Nabi untuk sahabat-sahabatnya bersolat asar di Bani Khuraizah, yang mana sebahagiannya telah mendirikan solat asar ketika waktu telah masuk, sehingga Nabi sendiri telah membenarkan kedua-dua ijtihad tersebut. Begitu juga di dalam kes bertayamum, di mana seorang sahabat setelah mencari air dan tidak ketemuan, bertayamum dan bersembahyang, manakala yang lain masih terus mencari. Lalu Nabi membenarkan kedua-dua ijtihad. Satu perkara menarik yang sangat memberi kesan terhadap pemikiran saya ialah hakikat bahawa Abdullah ibn Abbas r.a, sahabat Nabi yang mujtahid, dan Saidatina Aisyah r.a, isteri Nabi, adalah orang yang sangat tidak sekata di dalam ijtihad dan pendapat mereka malah mereka selalu berbalah. Akan tetapi, yang penting sebagai iktibar adalah sikap dan adab mereka di mana mereka setelah perbincangan ilmiah, tidak akan mencela antara satu sama lain, atau mengutuk dan memperlekehkan pandangan yang satu lagi. Inilah sebenarnya sikap yang menjadi tonggak kepada idea kewujudan golongan tengah.(anda boleh check kes-kes ini dalam sirah, hadith dan bantu saya membetulkan fakta sebenar).

Definisi Golongan Tengah

Siapakan golongan tengah ini?. Adakah ianya golongan baru, dan dengan kewujudan golongan baru ini akan menambahkan lagi perpecahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat?. Bahkan, secara jelas saya nyatakan bahawa mereka adalah golongan yang sahabat-sahabat, para tabieen, tabi’ tabieen, dan para alim-ulama yang sejak zaman berzaman berada di dalamnya dan mereka menjunjung tinggi prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya. Ia bukanlah suatu organisasi, tetapi himpunan orang-orang yang mempercayai dan bertindak mengikut prinsip dan lunas yang sebenarnya menjadi asas dalam Islam.

Maka persoalan timbul sekali lagi, apakah kepentingan kewujudan golongan tengah ini? Apakah dengan wujudnya golongan tengah ini akan menyelesaikan masalah atau sebenarnya menambah masalah? Nah. Di sini secara terang dan nyata, ianya sekadar menimbulkan semula pemahaman tentang etika, adab, dan kefahaman dalam berbeza dan berselisih pendapat. Sekali lagi, ingin dijelaskan bahawa berselisih pendapat bukan suatu yang asing di dalam Islam, seperti yang telah dinyatakan di atas. Juga, ianya bukanlah suatu yang dihinakan di dalam Islam, sekiranya berada di atas landasan yang betul dan berasaskan panduan Al-quran dan As-Sunnah. Akan tetapi persoalan etika dan tatacara berbeza pendapat yang menjadi keutamaan, agar setiap orang, pihak dan individu yang terlibat di dalam perbezaan pendapat terutamanya di dalam aspek-aspek yang melibatkan Islam dan prinsip-prinsip di dalamnya tidak menyebabkan seseorang melampaui batas-batas luhur kemanusiaan dan Syariat Allah.

Read More..

Peristiwa dalam Puisi: Subuh Terakhir di bumi Syam








I: Rakaman Subuh Terakhir

Pagi itu subuh sangat hening
Nyaman dan tenang
-sedikit berlainan berbanding malam-malam lain di musim panas-
seolah menutup sebuah cerita
catatan pengalaman di bumi bertuah

Pagi itu…
Subuh di surau Syeikh
Dan kami perdengarkan bacaan Al-Quran
Buat kali terakhir, mungkin
Dan suasana ceria
Seolah-olah cuba dicipta dan direka-reka
Kesedihan sudah bersedia
Di sebalik ceria
Di pagi subuh itu….


II: Pertemuan pertama

Kembali mengimbau kenangan lampau
Pertemuan yang diatur ilahi-cukup cantik
Bertemu di rumah Allah
Dalam rehlah iman, rehlah ilmu
Di petang Asar itu
Cukup terkenang

(Wa allafa baina qulubihim)
maka berlangusunglah ikatan
ayah-anak
syeikh dengan muridnya
guru dengan pelajarnya
abang dengan adik
teman dengan saudaranya
kami bagaikan satu entity
sakitnya engkau, sakitlah jua kami
demamnya kami, demammu jua
perlahan-lahan pertemuan yang dibina itu
berubah menjadi ikatan yang sungguh kukuh
menjadikan sang musafir merasa
bagaikan di watan sendiri
dan benarlah kalam Rabbani
(Lau anfaqta ma fil ardhi jami’a ma allafta baina qulubihim walkinallah allafa bainahum)

III: Episod Perpisahan

Langkah ke Baramkeh
Sayu sekali
Beban rindu dan sayang
Pada bumi Syam-mendalam dan membekas
Begitu pantas masa berlalu
Seolah terasa baru semalam kami menjejakkan kaki
Ke bumi barakah ini
Apakah masa terlalu cemburu
Pada intimnya aku dengan bumi Syam?
Mengapa tidak diberikan peluang walau sedikit lagi
Untuk aku merakam
Segala kenangan di sini…

Masih dalam dan tebal rinduku pada
Jabal Qaisyoun, Souq Sarigeh, Halbouniye, Meidane,
Abu Nour, Ruknuddin, dan Mazzeh..
Pada semuanya
Walaupun di saat ini aku tidak jauh dari tanah
Yang aku rasa seperti tanahairku sendiri
Tetapi seolah jauh beribu batu…
Apakah aku akan berpeluang sebegini lagi
Apakah aku akan terus
Merindui…pada
Suci dan mulusnya bumi Syam
Kelembutan tutur bicara jemaah Jami’ Umawi
Keayuan wanita-wanita Syam
Yang masih tegar menjaga harga diri
Yang masih malu pada kejahatan
Kezuhudan ulama’ Syam
Keramahan peniaga-peniaga di Souq Hamidiye
Kejujuran penduduk kota Syam
Kemesraan teman-teman
(Pasti ku kan ingat pada rumah Bab Sarigeh-rumah dua bulan
seolah membenarkan hanya kami sahaja
yang merakam segala kenangan di bumi Syam,
tiada lagi selepas itu)
Pada rumah…
Yang merakam suka duka
Tawa tangis
Gembira dan rajuk
Bersama teman-teman
Apakah akan ada lagi peluang itu…

Dan petang itu
Selepas sepanjang paginya
Aku seolah terlalu sibuk
Yang tidak pernah aku sesibuk itu, bersama Syeikh
Seolah orang tua itu tak ingin terjadinya perpisahan
Bagai ingin bersama selalu…
Dan langkah terakhir
Menutup tirai
Musafir ke bumi Syam
Dengan rasa pilu dan sedih…
Dalam pelukan Syeikh
Kesayangan…
Pilu….tiada kata..
….tiada bicara..
masing-masing menahan sebak di dada…
walaupun wajah tiap-tiap seorang cuba menyembunyikannya

Sepanjang perjalanan pulang
Aku cuba merenung
Kuasa tuhan
Bagaimana Allah mengikat
Hati manusia yang sama sekali
belum pernah berjumpa sebelumnya
merasa seolah sebuah keluarga
walau dalam tempoh yang pendek cuma…
(kawan-kawan sebahagiannya mengelak untuk bertemu Syeikh…mengapa?
Pastinya kenangan di antara mereka lebih banyak, kerana mereka takut akan mengalirkan air mata pilu atas perpisahan ini)

Cukup syahdu
(Syeikh cuba mengelak perasaan sedih menyelubunginya
tetapi pastinya ia terpancar dari wajahnya yang putih kemerah-merahan)

Pertemuan dan perpisahan
Yang disusun Al-Aziz Al-Jalil
Seolah memaksa kami mencari hikmah
Di sebalik kembara ini…

Dalam kegelisahan ini
Jauh di lubuk hatiku
Aku bertanya
Apakah aku akan berkesempatan lagi
Untuk berjumpa dengan Syeikh?
Kalau berkesempatan, apakah aku dapat bertemu dengannya?
Atau sekadar melawat dan menyampaikan salam padanya…
Di sisi pemakamannya…

Semua itu aku serahkan pada
Yang Maha Menentu…
Yang pasti, aku akan terus berdoa
Walau tiada lagi pertemuan antara kita
Di fana ini..
Moga-moga di firdausi
Kita duduk semeja…

IV: Buat teman-teman

Sungguh
Kenangan bersama kalian
Hanya sekali
Mungkin tiada lagi suasana
Seperti itu…
(Kalian sudah pun mengungkapkan penyataan ini sesudah keberangkatan kami dari bumi Syam: “Rumah ini pasti sunyi”)

segala suka duka
tawa menangis
riang gembira-marah-marah
usik-mengusik…
tidak kering gusi…
antara kita bagaikan sebuah keluarga
juga aku kira sebuah petemuan yang diatur tuhan
tak disangka-sangka
dan rumah kita itu
menjadi bukti
pengalaman itu hanya untuk kita
tiada dikongsi

V: Penutup

Jauh perjalanan
Kembali jua ku ke kampung halaman
Aku berharap untuk kembali lagi
Ke bumi barakah
Suatu hari nanti
(Allahumma barikna fi Syamina)


Hambamu yang menagih kasih,
Muhammad Aiman Salmi
(sempena musafir ke bumi barakah-Syam)

Read More..

Thursday, 5 July 2007

Jejak Jordan (Muqaddimah Musafir ke Bumi Syam)

pengalaman menjejakkan kaki ke bumi jordan.....
bukanlah kali pertama....pernah suatu ketika dulu..
berpengalaman begini...
cuma kali ini...dalam dewasa...dalam mencari identiti diri sendiri...
musafir lalu di negeri orang....

Read More..

Apa harus kita biarkan pengalaman hidup?



Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman. Belajarlah dari kehidupan..

Iktibar dari perjalanan musafir ke bumi Syam

Muhammad Aiman Salmi

Read More..