Sunday, 8 July 2007

Peristiwa dalam Puisi: Subuh Terakhir di bumi Syam








I: Rakaman Subuh Terakhir

Pagi itu subuh sangat hening
Nyaman dan tenang
-sedikit berlainan berbanding malam-malam lain di musim panas-
seolah menutup sebuah cerita
catatan pengalaman di bumi bertuah

Pagi itu…
Subuh di surau Syeikh
Dan kami perdengarkan bacaan Al-Quran
Buat kali terakhir, mungkin
Dan suasana ceria
Seolah-olah cuba dicipta dan direka-reka
Kesedihan sudah bersedia
Di sebalik ceria
Di pagi subuh itu….


II: Pertemuan pertama

Kembali mengimbau kenangan lampau
Pertemuan yang diatur ilahi-cukup cantik
Bertemu di rumah Allah
Dalam rehlah iman, rehlah ilmu
Di petang Asar itu
Cukup terkenang

(Wa allafa baina qulubihim)
maka berlangusunglah ikatan
ayah-anak
syeikh dengan muridnya
guru dengan pelajarnya
abang dengan adik
teman dengan saudaranya
kami bagaikan satu entity
sakitnya engkau, sakitlah jua kami
demamnya kami, demammu jua
perlahan-lahan pertemuan yang dibina itu
berubah menjadi ikatan yang sungguh kukuh
menjadikan sang musafir merasa
bagaikan di watan sendiri
dan benarlah kalam Rabbani
(Lau anfaqta ma fil ardhi jami’a ma allafta baina qulubihim walkinallah allafa bainahum)

III: Episod Perpisahan

Langkah ke Baramkeh
Sayu sekali
Beban rindu dan sayang
Pada bumi Syam-mendalam dan membekas
Begitu pantas masa berlalu
Seolah terasa baru semalam kami menjejakkan kaki
Ke bumi barakah ini
Apakah masa terlalu cemburu
Pada intimnya aku dengan bumi Syam?
Mengapa tidak diberikan peluang walau sedikit lagi
Untuk aku merakam
Segala kenangan di sini…

Masih dalam dan tebal rinduku pada
Jabal Qaisyoun, Souq Sarigeh, Halbouniye, Meidane,
Abu Nour, Ruknuddin, dan Mazzeh..
Pada semuanya
Walaupun di saat ini aku tidak jauh dari tanah
Yang aku rasa seperti tanahairku sendiri
Tetapi seolah jauh beribu batu…
Apakah aku akan berpeluang sebegini lagi
Apakah aku akan terus
Merindui…pada
Suci dan mulusnya bumi Syam
Kelembutan tutur bicara jemaah Jami’ Umawi
Keayuan wanita-wanita Syam
Yang masih tegar menjaga harga diri
Yang masih malu pada kejahatan
Kezuhudan ulama’ Syam
Keramahan peniaga-peniaga di Souq Hamidiye
Kejujuran penduduk kota Syam
Kemesraan teman-teman
(Pasti ku kan ingat pada rumah Bab Sarigeh-rumah dua bulan
seolah membenarkan hanya kami sahaja
yang merakam segala kenangan di bumi Syam,
tiada lagi selepas itu)
Pada rumah…
Yang merakam suka duka
Tawa tangis
Gembira dan rajuk
Bersama teman-teman
Apakah akan ada lagi peluang itu…

Dan petang itu
Selepas sepanjang paginya
Aku seolah terlalu sibuk
Yang tidak pernah aku sesibuk itu, bersama Syeikh
Seolah orang tua itu tak ingin terjadinya perpisahan
Bagai ingin bersama selalu…
Dan langkah terakhir
Menutup tirai
Musafir ke bumi Syam
Dengan rasa pilu dan sedih…
Dalam pelukan Syeikh
Kesayangan…
Pilu….tiada kata..
….tiada bicara..
masing-masing menahan sebak di dada…
walaupun wajah tiap-tiap seorang cuba menyembunyikannya

Sepanjang perjalanan pulang
Aku cuba merenung
Kuasa tuhan
Bagaimana Allah mengikat
Hati manusia yang sama sekali
belum pernah berjumpa sebelumnya
merasa seolah sebuah keluarga
walau dalam tempoh yang pendek cuma…
(kawan-kawan sebahagiannya mengelak untuk bertemu Syeikh…mengapa?
Pastinya kenangan di antara mereka lebih banyak, kerana mereka takut akan mengalirkan air mata pilu atas perpisahan ini)

Cukup syahdu
(Syeikh cuba mengelak perasaan sedih menyelubunginya
tetapi pastinya ia terpancar dari wajahnya yang putih kemerah-merahan)

Pertemuan dan perpisahan
Yang disusun Al-Aziz Al-Jalil
Seolah memaksa kami mencari hikmah
Di sebalik kembara ini…

Dalam kegelisahan ini
Jauh di lubuk hatiku
Aku bertanya
Apakah aku akan berkesempatan lagi
Untuk berjumpa dengan Syeikh?
Kalau berkesempatan, apakah aku dapat bertemu dengannya?
Atau sekadar melawat dan menyampaikan salam padanya…
Di sisi pemakamannya…

Semua itu aku serahkan pada
Yang Maha Menentu…
Yang pasti, aku akan terus berdoa
Walau tiada lagi pertemuan antara kita
Di fana ini..
Moga-moga di firdausi
Kita duduk semeja…

IV: Buat teman-teman

Sungguh
Kenangan bersama kalian
Hanya sekali
Mungkin tiada lagi suasana
Seperti itu…
(Kalian sudah pun mengungkapkan penyataan ini sesudah keberangkatan kami dari bumi Syam: “Rumah ini pasti sunyi”)

segala suka duka
tawa menangis
riang gembira-marah-marah
usik-mengusik…
tidak kering gusi…
antara kita bagaikan sebuah keluarga
juga aku kira sebuah petemuan yang diatur tuhan
tak disangka-sangka
dan rumah kita itu
menjadi bukti
pengalaman itu hanya untuk kita
tiada dikongsi

V: Penutup

Jauh perjalanan
Kembali jua ku ke kampung halaman
Aku berharap untuk kembali lagi
Ke bumi barakah
Suatu hari nanti
(Allahumma barikna fi Syamina)


Hambamu yang menagih kasih,
Muhammad Aiman Salmi
(sempena musafir ke bumi barakah-Syam)

No comments: