Friday, 9 May 2008

Air mataku berlinang ketika khutbah dibacakan


Baru saja usai solat jumaat di masjid tadi. Khutbah sedikit sebanyak menyentuh tantang persiapan kita sebelum menemui Rabbul-Jalil. Dalam perjalan pulang ke rumah, terkenang sejenak ingatan dan pengalaman berjumaat di bumi Arab. Tepatnya di Syria. Juga sebelum itu, beberapa tahun ke belakang di San’aa, Yemen.Perbezaan

Pengalaman berjumaat di bumi Arab sangat berbeza dengan Negara kita. Dari satu segi pastilah bahasanya menjadi factor utama. Tapi di samping itu, ada semacam satu ruh yang hadir bersama tatkala berjumaatan di sana. Di masjid-masjid yang ‘kuat’ auranya. Memang akan sentiasa menjadi kenangan kalau mendengar khutbah jumaat di sana. Di Jami’ Umawi khasnya, dan di mana-mana masjid, pasti ‘bergegar’.

Jumaat akan menjadi hari cuti bagi kebanyakan Negara arab. Di Syria juga begitu. Kebiasaannya, kami serumah, sepanjang berada di Syria bersama-sama teman yang lain akan tidur lebih lama, kalau tak pun ada yang akan membasuh pakaian dan jemuran. Biasanya juga pagi jumaat pengajian lepas Subuhnya sedikit panjang berbanding hari biasa. Mungkin ke sana sesekali. Bersiap ke masjid, menjelang waktu jumaat, pilihan masjid yang sangat banyak menanti kami. Tak terpilih. Dari yang besar dan luas, tetapi agak jauh, sehinggalah yang dekat tetapi agak cosy. Kalau di Syria, saya berkesempatan ke Jami’ Zaid, Jami’ Umawi tentunya, dan Jami’ Zainal Abidin, yang sedikit jauh.

Khutbah

Khutbah jumaat menjadi satu trademark bagi masjid-masjid di sini. Isinya sangat menusuk ke hati para jemaah. Bahannya sangat dekat dengan masyarakat. Bahasanya kadang-kadang tidak terlalu tinggi dan berfalsafah, tetapi yang pasti disulami dengan syair-syair dan kata-kata indah, bahasa yang berbunga-bunga, yang kadang-kadang saya sendiri pun kurang faham. Satu yang pasti, ‘gegaran ‘ itu pasti menyentuh jiwa. Pernah sekali tajuk berkaitan hak dang tanggungjawab anak disampaikan. Dengan perumpamaan yang sangat mudah dan lojik, dan suara yang kadang-kadang naik turun intonasinya, dengan mesej yang jelas, kelihatan di sekeliling saya, para jemaah kebanyakkan telah tunduk dengan linangan dan esak tangis. Merah mata mereka dek kerana ‘kekuatan’ penyampaian khutbah di sana. Pernah juga sekali tajuk berkenaan infaq, maka selesai sahaja Solat Jumaat, berduyun-duyun “extra’ orang berderma dan berinfaq, kesan dari power khutbah itu. Kalau nak dikatakan khatib di sana semuanya professor, tak juga. Sebahagiannya hanya ustaz dan syaikh biasa. Tapi mungkin budaya, suasana dan kebiasaan masyarakat di sana yang memerlukan para khatib untuk menjadi orator yang baik, serta dekat dengan syair dan bahasa yang indah. Kalau mengikut seorang teman, mungkin bicara mereka itu dari hati, sebab itu sampai juga ke hati. Di Malaysia, macam man pula ya? Ha korang pikir la sendiri.

Kehidupan di Syria

Biasanya ‘kehidupan’ bermula selepas Solat Jumaat. Pengalaman singkat di Syria, kami mempunyai pilihan samada makan tengahari sebelum Jumaat di rumah atau selepasnya. Atau boleh sahaja kami memilih untuk menikmati kelazatan hidangan timur tengah dengan dessertnya termasuklah ais krim, halawiyat, atau buah-buahan. Tapi yang pasti, kalau berada di kawasan Souq Hamidiye, pasar lama semenjak zaman Umawi lagi, pasti air tamar hind menjadi sasaran. Atau ais buah tut, atau oren, yang diminum ketika terik matahari memancar. Huh. tegukan demi tegukan. Pasti melegakan. Selepas itu baru kami mencari ayam masywi atau kambing.

Rakyat Malaysia

Jumaat juga menjadi hari untuk bertemu rakan-rakan Malaysia yang lain. Kalau ada upacara khas, rumah teman-teman Malaysia, samada yang bujang atau yang sudah berumahtangga menjadi sasaran. Gembira dapat bersama teman-teman yang menekuni ilmu di berbagai markaz ilmu di sekitar kota Dimasyq, Syria. Pelajar Malaysia di sana yang berjumlah lebih 500 orang itu bertebaran di seluruh pelusuk kota. Sebilangan di Jamiah Dimasyq, manakala sebahagian di Maahad Abu Nour, Maahad Tahzib serta maahad lughah yang lainnya. Jumaat juga sangat seronok di sini dapat melihat dan bersalaman dengan para masyaikh dan ulama, yang begitu tekun mendidik ummah, selain temna-teman arab dan rakan-rakan ajanib dari seluruh dunia yang sama-sama sekelas.

Jumat di Syria, sungguh mengujakan dan membawa seribu kenangan berharga. Walaupun persinggahan saya ke sana sangat singkat, ingatan ketika di sana sangat kukuh. Syam oh Syam. Bumi para anbiya’.

1 comment:

QAYYIM HAFIDZI said...

wah! menarik2! kelas pengajian di sana macam mana ya? senang ke nak apply masuk?