Suruhanjaya Pengurusan Bantuan Bencana Negara
Seluruh dunia sekarang berhadapan dengan pelbagai tragedi dan bencana yang menimpa penduduk di kebanyakan kawasan dunia. Terkini, gempa bumi di wilayah Sichuan dan Chengdu di China yang mengorbankan ribuan mangsa, serta mencederakan puluhan ribu yang lain. Beberapa ketika sebelum itu, serangan taufan Nargis yang melanda Myanmar telah menyaksikan banyak nyawa terkorban.
Malaysia selaku sebuah negara yang peka terhadap perkembangan dan situasi ini banyak membantu. Bukan sahaja kerajaan telah mengambil langkah perlu, malahan rakyat Malaysia yang turut bersimpati dengan kecelakaan itu, turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.
Sikap rakyat Malaysia
Rakyat Malaysia memang diketahui sangat pemurah dan dermawan. Walaupun dengan jumlah yang kecil, sejak zaman berzaman, rakyat Malaysia, tidak mengira bangsa dan keturunan bersedia membantu sesiapa sahaja yang tidak bernasib baik.
Tragedi tsunami yang berlaku beberapa tahun dahulu serta banyak lagi bencana seperti gempa bumi di Pakistan serta serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan, bahkan kejadian banjir besar yang melanda selatan tanahair, telah membawa rakyat Malaysia untuk turut serta berempati dengan nasib mereka. Bukan sahaja wang ringgit, pakaian, bantuan kesihatan dan perubatan, misi kemanusiaan, dan kelengkapan lainnya turut disumbangkan.
Di samping sikap pemurah rakyat Malaysia itu, kesanggupan beberapa pihak terutamanya agensi kerajaan, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat, persatuan-persatuan, serta pertubuhan agama membantu pengurusan dan penyediaan bantuan itu turut menyumbang ke arah pertambahan jumlah bantuan yang dihulurkan.
Pengurusan bantuan bencana
Di sebalik sikap itu, sebagai rakyat Malaysia, isu besar di sebalik pengurusan bantuan kemanusiaan yang diberikan ialah transparensi dan tanggungjawab yang dipikul oleh pengurusan bencana. Hakikatnya di Malaysia kita tiada satu badan khusus yang menyelaraskan bantuan yang diterima untuk apa sahaja bencana. Pengurusan yang meliputi aspek keselamatan, bantuan kewangan, bantuan kemanusiaan dan sukarelawan, serta barangan keperluan. Semuanya dilakukan secara berasingan bergantung kepada agensi-agensi terlibat.
Di samping agensi keselataman seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, serta badan kemanusiaan lain seperti St. John Ambulance, Mercy, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), NGO seperti ABIM, JIM, Aman Malaysia, turut membantu. Rakan media juga sering membantu membuat kutipan termasuklah Kumpulan Utusan, NSTP, dan lain-lain.
Namun begitu, isu utama yang timbul adalah, adakah bantuan dan sumbangan yang dihulurkan itu benar-benar sampai ke tangan yang sepatutnya menerima? Apakah mekanisme untuk memastikan sumbangan itu dapat dipastikan sampai kepada pihak yang patut menerima itu? Apakah yang akan dilakukan terhadap lebihan sumbangan sekiranya bantuan yang diterima telah mencukupi?
Suruhanjaya Pengurusan Bantuan bencana
Oleh itu, sebagai satu cadangan yang mungkin boleh diutarakan kepada barisan ahli parlimen serta pihak berwajib untuk mula meneliti penubuhan sebuah entiti khusus bagi menguruskan, mengkoordinasi, serta membentangkan laporan tahunan sebagai rujukan umum terhadap seluruh masyarakat Malaysia. Entiti yang dicadangkan boleh jadi sebuah Suruhanjaya, atau agensi kerajaan, atau juga agensi bebas. Pengurusan ini meliputi kerjasama pihak keselataman, Kementerian Luar, Kementerian dalam Negeri, NGO, badan sukarelawan, dan lain-lain lagi. Yang penting, pengurusan ini akan mempunyai kemahiran khusus dalam pengurusan bantuan bencana, pengagihan bantuan, pelatihan, serta peningkatan mutu perkhidmatan di samping pelaporan aktiviti dan penggunaan sumbangan yang dilaporkan dan dibentangkan terus ke Parlimen.
Walaupun sememangnya dakui bahwa penubuhan sesebuah sruhanjaya memakan jumlah wang yang besar, akan tetapi memastikan ketelusan dan transparensi dalam pengurusan wang bantuan dan sumbangan oleh rakyat harus diutamakan.
Ini merupakan suatu cadangan kecil ke arah penambahbaikan perjalanan dan pengurusan bantuan bencana supaya ia lebih efisien, cekap, transparensi dan berintegriti. Tambahan pula rakyat berhak untuk mengetahui ke mana duit mereka pergi.
*ini adalah surat yang dihantar ke berita harian tiga minggu lepas untuk disiarkan, tapi tak juga kuar2 nye. Tu yang ayat full sentence tuh. Tak pe. at least boleh share something kat sini.
1 comment:
JIM DERU~mungkin produk "kita"
Post a Comment