Monday 1 September 2008

Di teduhan sebuah pohon kemerdekaan


Kau membenih dari rahim payah

Betapa kelahiran itu

Sebuah perjuangan yang panjang,

Setiap nafas watan berdesah

Adalah rintis-rintis halus dalam

Kesayuan tembang.

Khabarkan padaku;

Indahnya perjuangan,

Kerana aku adalah pencari hikmah

Dalam keselerakan khazanah.

Akulah pucuk hijau

Pada dahan keutuhanmu

Akulah tunas baru

Dari akar ketuananmu

Akulah waris setia penerus kehidupanmu.

Dan saat guntur sejarah menikam hatiku,

Pedih

Aku menjadi pejuang majazi

Dalam citra yang panjang

Dengan pertarunganku sendiri.

Aku hanyalah daun

Dan kau adalah pohon,

Aku akan gugut

Tapi kau akan terus subur.

Nissa’ Yusof

Ipoh, Perak


dipetik dari Mingguan Malaysia
31 Ogos 2008

No comments: