Friday 14 March 2008

Ais krim dan kenangan indah lalu...

Malu juga kalau dah besar panjang ni, tapi still menikmati ais krim sambil melepaskan lelah selepas satu hari yang memenatkan. Masakan tidak. Dengan berjanggut dan bermisai, menikmati ais krim masih dengan cara tersendiri, persis waktu kanak-kanak dulu.

Coretannya tentang apa?. Tentang mengapa waktu kita menikmati dan terasa ingin sekali menikmati ais krim kita ada habit tertentu yang begitu mengembalikan nostalgia zaman kecil dahulu. Sebab itulah fitrah manusia. Tentu sekali dia ingin waktu santai dan relax. Dan santai dan relax itu hadir melalui hidangan ais krim yang dinikmati, tentunya itu yang disogokkan sejak kita masih kecil kan?.

Sesekali menikmati ais krim tu, pasti kenangan dulu muncul semula. Walau apa pun cara anda menikmati hidangan ais krim anda, dengan apa perasa sekalipun, yang pasti ianya mengembalikan anda ke zaman kecil anda.

Kalau berbicara tentang ais krim ini, tidak dapat kita lari dari menelusuri sejarah pembuatan ais krim. Dan pastinya kalau anda membaca di maan pun berkaitan hal ini, pastinya akan disebut di situ tentang Dimasyq, Syria. Tepatnya Souq Hamidiye. Ada apa sebenarnya di situ?. Secara turun temurun, dikisahkan ais krim mula-mula dicipta di situ. Dan masih sehingga sekarang teknik yang sama, dan warisan itu masih dikekalkan sehingga ini hari. Rasanya?. Unik sekali. Secara relatifnya, tidaklah tepat seperti ais krim-ais krim lainnya di waktu moden ini. Sedikit likat, rasa susunya kuat, tetapi tidak terlalu sejuk, dihidangkan dalam dua versi dalam mangkuk atau kon. Disediakan dalam beberapa perasa, vanilla, coklat, dan strawberi, serasa-rasanya sama sahaja. Sempat juga ketika berkesempatan bermukim di sana buat beberapa ketika menikmati hidangan penuh sejarah ini hampir setahun yang lalu.

Di sini juga, di Malaysia, evolusi pembuatan ais krim sangat pesat. Tanya sahaja ibu ayah kita tentang pengalaman menikmati ais krim zaman mereka dahulu. Kring. Kring. Kring. Ais kepal!!! Bagaimana bentuknya. Tanpa bekas, ia adalah seumpama anda menikmati ABC di waktu kini. Dan ketika itu, khususnya di kampung-kampung, ianya sangat popular.

Kemudian datang pula ais krim Malaysia, sebahagian memanggil ais krim Selangor. Bahan yang sama dengan ais kepal, ais kosong dengan perasa, Cuma ia dibungkus dalam plastik dan diikat di hujung. Harganya sekitar 5 sen ke 10 sen. Selang beberapa lama selepas itu, datang pula ais pop, masih mengekalkan produk yang sama Cuma pembungkusan yang sedikit moden. Yang menarik, ianya pasti mengingatkan teman-teman pengalaman petang-petang selepas penat bermain bola atau tuju kasut. Sambil menikmati ais pop bersama-sama teman di tepi padang pasti sungguh mengembalikan memori silam. Pastinya anda juga terkenang proses nak membelinya. Masing-masing kena top up sikit duit, dan ais pop itu dipatah dua. Ada yang memulas tengahnya, ada yang karate dengan lutut dan pelbagai lagi.

Dan generasi kini menikmati ais krim mereka dengan cara yang mungkin sudah berbeza dengan kita dahulu. Perasanya, bahannya, atau mungkin apa sahaja. Tapi yang tetap sama ialah kenangan yang dibawa bersama ketika menikmati ais krim itu.

No comments: