Monday, 3 March 2008

Perkara kecil bernilai besar

Seringkali kita diajak berfikir dewasa Berwawasan jauh. Berminda global. Dan seringkali juga kita diminta berbicara soal besar-besar, gah, dan berskala super duper hyper. Semuanya tentang meluaskan sudut pandang dan ruang lingkup berfikir, agar tidak jumud, tertutup dan hanya concern tentang isu yang di anggap remeh-temeh.

Seringkali juga kita kadang-kadang, dek kerana terlampau tepu disogokkan dengan idea-idea besar itu, hampir sahaja terlupa atau dikaburkan pandangan pada menilai perkara-perkara kecil yang dianggap remeh tadi, seolah bernilai sifar. Bernilai sifar dalam kehidupan kita. Kehidupan sehari-harian, dalam bicara, dan berinteraksi sesame manusia dan alam.

Perkara kecil semudah sekumtum senyuman, sebuah kemaafan, sepotong ayat terima kasih, memohon izin dan laluan, diam mendengar bicara orang lain, menundukkan kepala dan bertentang mata ketika berselisihan di kaki lima, bersalaman, dan bertegur sapa seadanya, mengucap salam pernghormatan, mendahulukan wanita atau warga emas ketika berebut-rebut memasuki tren atau mana-mana dewan kuliyah, membantu seadanya lecturer, yang dari jauh kelihatan terbongkok-bongkok mengangkat kertas-kertas jawapan yang bertaburan di lantai, mempelawa ditumpangkan menaiki kenderaan, bangun memberi laluan kepada insan istimewa untuk duduk ketika dalam perjalanan dalam bas, membuang sampah di tong sampah, memperlahankan kenderaan memberi laluan kepada pejalan kaki, bermanis wajah, mendoakan rakan yang sakit, menghormati tetamu, mempelawa makan sekadarnya, dan banyak lagi perkara kecil yang begitu kita nilai seolah tiada apa-apa, bernilai besar di sisi manusia. Semuanya bermaksud adab dan akhlaq. Pekerti mulia dan kesopanan.

Ya. Perkara kecil bernilai besar. Ianya tentang perhubungan sesama manusia dan alam. Ya, semuanya perkara-perkara kecil yang tidak perlu diungkapkan dan diulas panjang lebar. Semuanya sudah sedia maklum. Tapi dek kerana mungkin terkabur dengan perkara-perkara maha besar, kita jadi kedekut untuk menilai diri kita dalam memperhatikan perkara-perkara kecil sebegini.

Inilah sebahagian perisa tambahan yang menyegarkan hubungan manusiawi. Dalam zaman yang sikap individualistik semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela. Di zaman yang hidup nafsi-nafsi lebih utama, sehinggakan jiran sebelah rumah sudah seminggu meninggal dunia di dalam rumahnya pun tidak disedari, bahkan tidak dikenalnya. Harus jadi benchmark, bahawa inilah yang diberitakan oleh nabi sebab pengutusannya kepada manusia.

“Bahawa sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.

Malang sekali, dan bertambah-tambah malangnya, kalau yang masih merupakan pelaku tegar dalam meremehkan perkara-perkara sebegini adalah sang da’ie, da’ieyah, murabbi-murabbi besar yang anak buah halaqah-usrahnya berjumlah puluhan orang. Sayang sekali. Sekadar catu coretan rasa hati. Sekadar untuk difikir dan direnungkan. Sekadar untuk diperhatikan. Sekadar untuk mula kita titikberatkan. Bermula sekarang.

No comments: